EKONOMI

PKNS Lancar Projek Hartanah Dengan GDV Bernilai RM1.5 Bilion Pada 2025

23/11/2024 05:00 PM

CYBERJAYA, 23 Nov (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan melancarkan kira-kira 12 projek hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.5 bilion pada 2025, mencerminkan komitmennya untuk memajukan pasaran hartanah Selangor, kata Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Mahmud Abbas.

Beliau berkata enam projek dijangka dilancarkan pada separuh pertama 2025, manakala baki enam lagi pada separuh tahun kedua. 

Bagi 2024, perbadanan itu menyasarkan untuk mencapai GDV antara RM800 juta dan RM1 bilion, mengukuhkan lagi penyertaannya dalam sektor hartanah yang kompetitif.

“PKNS telah berkembang dengan ketara sejak pembinaan rumah pangsa 50 hingga 60 tahun lepas. Hari ini, kami bergerak ke segmen pasaran yang lebih tinggi dan pertengahan, satu anjakan yang diperlukan untuk berdaya saing dalam industri,” katanya pada program Pilih Karnival PKNS di Selangor Cyber Valley (SCV), di sini hari ini.

Mahmud berkata berikutan fokus PKNS kini untuk memenuhi keperluan masyarakat yang pelbagai, sebanyak tiga jenis produk perumahan telah dibangunkan di Cyberjaya bagi memenuhi pelbagai keperluan demografi.

 Ia termasuk pangsapuri mampu milik berharga antara RM300,000 dan RM400,000 setiap satu bagi pembeli golongan muda atau isi rumah yang lebih kecil, katanya.

Sementara itu, rumah bandar Aludra Residensi yang berharga RM500,000 menawarkan fleksibiliti dengan pilihan gabungan unit yang lebih besar berharga RM1 juta, menyediakan ruang kediaman seluas 2,000 kaki persegi.

“Kami mempunyai Azhara, untuk mereka yang menginginkan kediaman mewah yang direka untuk keluarga lebih besar dan menawarkan ciri yang dinaik taraf. Kami menyasarkan untuk menampung keperluan pembeli yang berbeza-beza peringkat kehidupan seperti bujang, keluarga dengan seorang anak, atau keluarga yang lebih besar,” katanya.

Pilih Karnival berfungsi sebagai platform untuk mempromosikan projek perbadanan itu dan mewujudkan kesedaran tentang transformasinya dalam pembangunan hartanah.

“Karnival ini menyerlahkan bagaimana PKNS berubah menjadi pemaju perumahan pertengahan dan mewah sambil terus mengekalkan komitmennya terhadap keperluan masyarakat,” kata Mahmud.

Melangkah ke hadapan, PKNS merancang untuk menumpukan usaha pembangunannya di Cyberjaya di samping mempercepatkan projek penting lain di seluruh Selangor.

Pada tahun ini sahaja, cabang pembangunan milik kerajaan negeri itu merancang untuk melancarkan tiga lagi projek, menyerlahkan peranan aktifnya dalam memacu pembangunan bandar.

“Kami berada di landasan untuk memastikan pertumbuhan yang mampan sambil mengekalkan keuntungan. Strategi kami termasuk memanfaatkan anak syarikat untuk membina rumah berharga dalam lingkungan RM500,000 hingga RM600,000, agar memenuhi permintaan dalam pelbagai segmen,” katanya.

Pada Julai tahun ini, Mahmud dilaporkan berkata PKNS merancang untuk meningkatkan pendapatannya, berjumlah RM2 bilion pada masa ini, sebanyak empat kali ganda menjelang 2030 melalui pertumbuhan pelbagai perniagaannya.

Perbadanan itu ditubuhkan pada 1 Ogos 1964.

Karnival dua hari di galeri jualan SCV, yang berakhir esok, menandakan pusingan terakhir siri Pilih Karnival PKNS untuk 2024 selepas diadakan di pelbagai lokasi di Selangor sejak lima bulan lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan