DUNIA

PM Anwar Pemangkin Keharmonian Serantau - Penganalisis

24/11/2024 01:12 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 24 Nov (Bernama) -- Ketika genap dua tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemudi Malaysia sebagai Perdana Menteri pada 24 Nov, ia bukan sahaja menandakan kejayaan peribadi selepas perjuangan politik selama beberapa dekad tetapi juga lembaran baharu bagi negara dalam mengukuhkan hubungan serantau.

Ahli akademik dan pakar geostrategi dari Thailand bersetuju bahawa Anwar, yang terkenal dengan idealisme reformasi, ketajaman intelektual dan kefasihannya telah dengan pantas menonjolkan dirinya sebagai pemimpin yang memberi tumpuan kepada menghidupkan semula pengaruh serantau Malaysia serta memupuk hubungan lebih erat dengan negara jiran di Asia Tenggara.

Penolong Profesor Dr Yasmin Sattar dari Fakulti Sains Politik, Prince of Songkla University, Kampus Pattani, menekankan keupayaan unik Anwar untuk bekerjasama dengan pelbagai kumpulan, khususnya dalam memajukan inisiatif kemanusiaan di dunia Islam.

Beliau berkata Anwar adalah negarawan berpengalaman yang mampu menyuntik tenaga segar ke dalam diplomasi serantau.

"Sebagai contoh, dalam konteks Wilayah Selatan Thailand, beliau  dari segi sejarah menyokong pembangunan dan kerjasama antara Thailand dan Malaysia," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sejak 2004, Malaysia telah memainkan peranan yang kritikal dan penuh pertimbangan sebagai pemudah cara dalam proses damai Wilayah Selatan Thailand.

Wilayah itu yang merangkumi Pattani, Yala, Narathiwat, dan sebahagian Songkhla, telah mengalami pemberontakan selama beberapa dekad yang didorong oleh tuntutan autonomi dan hak budaya yang lebih besar daripada penduduk yang majoritinya Melayu-Islam.

Bagaimanapun, Yasmin menyatan keyakinan bahawa peranan pemudah cara Malaysia akan mendapat lebih kejelasan dan momentum, terutamanya dengan Malaysia akan mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025.

"Terdapat jangkaan yang lebih tinggi kali ini kerana Anwar mempunyai rekod prestasi yang lama dalam kerja kemanusiaan. Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia mungkin memperuntukkan sumber tambahan untuk menyokong inisiatif keamanan serantau," katanya.

Rakan sekerjanya, Profesor Dr Ibrahim Narongraksakhet menekankan hubungan erat Anwar dengan masyarakat Islam di Selatan Thailand, yang mana beliau sangat dihormati.

"Penduduk tempatan menaruh harapan tinggi agar konflik yang berterusan akan melihat kemajuan ke arah penyelesaian sepanjang tempoh perkhidmatan beliau," kata Ibrahim.

Beliau juga menyatakan bahawa hubungan diplomatik antara Thailand dan Malaysia kekal kukuh di bawah Perdana Menteri sebelum ini, termasuk Srettha Thavisin dan terus berkembang di bawah pentadbiran semasa yang diterajui oleh Paetongtarn Shinawatra.

"Peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN akan menjadi penting. Jika Malaysia di bawah kepimpinan Anwar gagal bertindak, ia akan menjadi peluang yang terlepas. Anwar terkenal di Selatan Thailand dan menikmati reputasi baik di sana," tambahnya.

Ibrahim seterusnya menyerlahkan rangkaian luas Anwar di seluruh rantau ini, termasuk hubungan kukuh dengan pemimpin di Brunei, Turkiye dan Indonesia, yang boleh mempercepatkan usaha damai di Selatan Thailand.

Anwar baru-baru ini menamatkan lawatan 11 hari ke Arab Saudi, Peru dan Brazil yang bermula pada 9 Nov, memperlihatkan langkah Malaysia yang yakin namun merendah diri di pentas global.

Semasa lawatan itu, Anwar terlibat dalam perbincangan rasmi dengan pemimpin dari 19 negara, mengukuhkan perkongsian global dan meneroka peluang baharu untuk meningkatkan kemakmuran Malaysia di tengah-tengah landskap geopolitik yang mencabar.

Pada Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro, Anwar turut meluangkan masa bersama pemimpin ASEAN, termasuk Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, menegaskan semula peranan aktif Malaysia dalam ASEAN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan