AM

Undang-undang Maklumat Palsu, Ketidakcekapan Sistem RFID Antara Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

25/11/2024 09:27 AM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Keperluan undang-undang berkaitan penyebaran maklumat palsu, ketidakcekapan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), dan penyeragaman bayaran tol antara isu yang akan dibincangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Riduan Rubin (Bebas-Tenom) meminta Menteri Komunikasi menyatakan sama ada kementerian bercadang menggubal undang-undang yang komprehensif, inklusif dan sesuai dengan peredaran zaman berkenaan penyebaran maklumat palsu kerana ia berisiko menimbulkan kegentaran dan mengganggu ketenteraman awam, pada sesi soal jawab. 

Selain itu, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mahu Menteri Kerja Raya menyatakan usaha bagi menyelesaikan ketidakcekapan sistem RFID di lebuh raya sehingga menyusahkan pengguna.

Beliau turut bertanyakan sama ada kerajaan bercadang untuk menyeragamkan sistem bayaran tol di seluruh negara. 

Turut tersenarai, soalan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) yang meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan statistik permohonan serta kelulusan projek dan jumlah yang telah dibelanjakan bagi program Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) mengikut pecahan negeri untuk tahun 2023 dan 2024. 

Usai sesi itu, persidangan diteruskan dengan sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa oleh kementerian terlibat.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung 35 hari bermula 14 Okt hingga 12 Dis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan