EKONOMI

Indeks Pelopor Catat 1.8 Peratus Pada September 2024, Capai 111.5 Mata - Perangkaan

25/11/2024 01:53 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Indeks Pelopor (IP) Malaysia kekal positif pada September 2024, mencatat pertumbuhan tahunan 1.8 peratus untuk mencapai 111.5 mata berbanding 109.5 mata pada bulan yang sama setahun lalu, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi positif 10 bulan berturut-turut ini sejak Disember 2023 menunjukkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berterusan.

“Indeks Perindustrian Bursa Malaysia merupakan penyumbang utama kepada peningkatan ini, meningkat sebanyak 30.4 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata prestasi bulanan IP merosot sebanyak 2.6 peratus disebabkan penurunan dalam kebanyakan komponen kecuali penawaran wang benar, M1 dan Indeks Perusahaan Bursa Malaysia, masing-masing menyumbang 0.2 peratus.

“Melihat kepada trend jangka panjang yang lancar pada September 2024, IP secara konsisten melebihi 100.0 mata, menunjukkan ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang, disokong oleh prestasi ekonomi domestik yang optimistik,” katanya.

Namun begitu, Mohd Uzir berkata cabaran global mungkin menimbulkan potensi risiko kepada trajektori pertumbuhan ini.

Mengenai prestasi ekonomi semasa, beliau berkata Indeks Serentak (IS) turut mengalami kenaikan tahunan sebanyak 1.3 peratus untuk mencapai 125.6 mata berbanding 124.0 mata setahun lalu.

“Prestasi ini didorong oleh hampir semua komponen, kecuali gaji dan upah benar dalam pembuatan, yang menurun 0.6 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Uzir menambah bahawa prestasi bulanan IS menyaksikan penurunan kecil sebanyak 0.7 peratus disebabkan oleh penurunan empat daripada enam komponen kecuali jumlah guna tenaga dalam pembuatan (0.1 peratus) dan gaji dan upah benar dalam pembuatan (0.02 peratus) yang menunjukkan sedikit peningkatan.

-- BERNAMA  

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan