EKONOMI

Bank Pembangunan, Aim Concept Meterai Kemudahan Pembiayaan RM75 Juta Untuk Hospital Besar Pulau Pinang

25/11/2024 02:53 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) dan Aim Concept Sdn Bhd (ACSB) menandatangani kemudahan pembiayaan sebanyak RM75 juta untuk memulakan projek bernilai RM428 juta bagi pembesaran klinik dan wad pakar Hospital Besar Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan hari ini, BPMB berkata projek itu termasuk kemudahan setinggi 15 tingkat dengan 216 katil yang dilengkapi klinik pakar dan wad untuk kardiotorasik, neurosurgeri, oftalmologi, telinga, hidung dan tekak (ENT), rawatan rapi, perkhidmatan dengan penggantungan yang tinggi dan dewan bedah yang canggih dilengkapi pembedahan robotik.

Bank itu juga berkata projek berkenaan akan mewujudkan 2,100 pekerjaan, menangani jurang dalam penjagaan pakar, mengurangkan kesesakan dan meningkatkan akses kepada rawatan yang berkualiti dan tepat pada masanya.

“Pembiayaan itu mencerminkan tujuan BPMB untuk menyediakan modal impak bagi pembangunan negara.

"Penilaian terhadap pembiayaan ini dilakukan melalui rangka kerja mengukur impak terhadap pembangunan negara (MIND) BPMB, memastikan penyelarasan dengan standard alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta objektif Rancangan Malaysia Ke-12 kerajaan," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB Roni Abdulwahab berkata ini mencerminkan sokongan dan kerjasama ekosistem institusi kewangan pembangunan (DFI) dalam mengukuhkan mandat keseluruhan, daripada perusahaan kecil dan sederhana hinggalah kepada syarikat berskala besar yang berdaya saing tinggi.

"Melalui ekosistem DFI, terdapat kesinambungan sokongan dan modal ke arah pembangunan usahawan bumiputera ke peringkat pertumbuhan seterusnya," kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan