KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mempromosikan makanan tradisional Malaysia sepanjang Kepengerusian ASEAN 2025 bagi merancakkan industri pelancongan negara.
Timbalan Menteri berkenaan Khairul Firdaus Akbar Khan berkata makanan tempatan itu akan dihidangkan kepada delegasi asing di acara-acara berkaitan ASEAN yang berlangsung di seluruh negara.
"Ahli-ahli delegasi akan merasai betapa enaknya makanan warisan kita. Kita mahu makanan warisan kita ini kita angkat setinggi mana yang boleh.
"Saya percaya Malaysia bukan sahaja bersedia (selaku Pengerusi ASEAN), malah akan memberikan satu pengalaman yang cukup luar biasa untuk mereka (delegasi) nilai sendiri," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi MOTAC di Dewan Rakyat hari ini.
Berpaksikan tema Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 "Keterangkuman dan Kemampanan", beliau berkata MOTAC akan memastikan segala aspek penganjuran juga dapat dirasai seluruh rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, Khairul Firdaus berkata 19,000 pelajar asing dijangka menyertai program Edu+ menjelang akhir tahun ini dengan pendapatan pelancongan dijangka berjumlah RM95 juta.
Beliau berkata pakej pembelajaran jangka pendek yang digabungkan dengan pengalaman berkaitan pelancongan di universiti dan kolej tempatan itu akan merancakkan lagi pelancongan pendidikan menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial