AM

Abdul Fatah Ketuai Delegasi Koperasi Malaysia Ke Persidangan Global Di India

25/11/2024 07:12 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah mengetuai delegasi koperasi Malaysia ke Persidangan Koperasi Global dan Perhimpunan Agung Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) 2024 di New Delhi, India selama enam hari bermula hari ini.

Pengurus Besar Unit Komunikasi Korporat merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA Halim Ibrahim berkata Abdul Fattah yang juga Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP), turut diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan dasar pada perasmian Tahun Koperasi Antarabangsa yang bertemakan Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat.

Beliau berkata persidangan yang berlangsung di Bharat Mandapam itu akan dirasmikan Perdana Menteri India Narendra Modi dan dihadiri lebih 3,000 delegasi dari 100 negara termasuk 41 delegasi Malaysia, pemimpin koperasi global dan wakil-wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Acara dwitahunan ini menjadi platform penting pemimpin koperasi untuk berkongsi pandangan dan strategi bagi mengukuhkan koperasi sebagai pemain utama dalam pembangunan ekonomi dan sosial global.

“Perbincangan turut memberi fokus kepada memperkasakan dasar dan ekosistem keusahawanan, memperkukuh identiti koperasi, memupuk kepimpinan strategik dalam membentuk masa depan yang lebih adil, saksama dan mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Halim berkata selain mengiktiraf koperasi sebagai entiti yang berfokuskan kepada rakyat, pembangunan sosial dan ekonomi global, persidangan itu juga menjadi platform untuk peserta bertukar idea serta pengalaman terutama sesi perbincangan yang memberi tumpuan kepada pendekatan inovatif dalam meningkatkan produktiviti, kemampanan dan daya saing koperasi menghadapi cabaran global.

“Sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk memperkukuh hubungan antarabangsa, ANGKASA turut memperlihatkan kejayaan model koperasi di Malaysia yang menjadi rujukan dalam beberapa sektor termasuk pembiayaan Islam, pembangunan produk dan perkhidmatan halal, serta pembangunan komuniti seperti koperasi sekolah dan koperasi kariah masjid.

“Usaha ini bertujuan untuk mempertingkatkan perdagangan koperasi ke koperasi (C2C) di peringkat antarabangsa, sekali gus meningkatkan daya saing gerakan ini dalam landskap ekonomi,” katanya.

Beliau berkata Anggota Lembaga ANGKASA merangkap Ahli Lembaga ICA Datuk Kamarudin Ismail akan berkongsi kejayaan model gerakan koperasi sekolah di Malaysia, termasuk 35 buah koperasi sekolah yang mencapai perolehan RM1 juta serta sebuah koperasi sekolah memperoleh RM2 juta, pada Rabu ini.

Dalam masa sama, Halim berkata Abdul Fattah yang juga Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO) turut mengetuai delegasi Malaysia mengadakan kunjungan hormat ke atas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Muzafar Shah Mustafa pada Khamis ini.

Dalam kunjungan itu, ANGKASA akan memeterai memorandum persefahaman dengan Koperasi Baja Peladang India (IFFCO) dan Dewan Koperasi Iran (ICC).

“Selaku Naib Presiden ICA-AP,  Abdul Fattah akan menghadiri Mesyuarat Serantau ICA-AP bagi membincangkan pengukuhan koperasi dan kerjasama di rantau ini,” katanya.

Halim berkata kehadiran delegasi ANGKASA ke Persidangan Koperasi Global ICA 2024 merupakan peranan dan komitmen sebagai badan puncak di peringkat nasional dan antarabangsa, dalam menerajui pembangunan perniagaan gerakan koperasi negara.

“Penyertaan ANGKASA sebagai wakil Malaysia membawa imej positif gerakan koperasi negara yang berada di landasan tepat untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi serta mencorak masa depan sektor ini yang lebih mampan dan inklusif untuk manfaat anggota dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata anggota ICA global akan berhimpun secara rasmi untuk merumus dan melaksanakan dasar mengenai pelbagai isu utama yang boleh memberi impak kepada ICA dan gerakan koperasi global serta meluluskan Pelan Strategik ICA dan rangka kewangannya ketika Perhimpunan Agung ICA pada Jumaat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan