AM

Penduduk Kampung Batu 14 Bina Menara Tinjau Pantau Paras Sungai Galas

25/11/2024 08:47 PM

GUA MUSANG, 25 Nov (Bernama) -- Bagi memudahkan memantau paras Sungai Galas ketika musim tengkujuh ini, seorang penduduk Kampung Batu 14, di sini mengambil inisiatif membina sebuah menara tinjau berhampiran sungai berkenaan.

Mohamad Othman, 53, berkata disebabkan rumahnya terletak jauh dari siren amaran banjir, dia mula membina menara setinggi lima meter berserta loteng itu sejak setahun lepas dengan menggunakan kayu dan bumbungnya menggunakan zink terpakai sebagai persediaan menyelamatkan diri serta barangan berharga.

“Sebelum ini rumah saya kerap tenggelam ketika banjir kerana terletak di pinggir Sungai Galas, jadi loteng itu digunakan untuk menyimpan barangan rumah. 

“Siren banjir berada jauh dari kawasan kampung, jadi biasanya bila ia mengeluarkan amaran, kampung kami telah pun dinaiki air. Saya kerugian lebih RM5,000 dalam kejadian banjir sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita di kampung berkenaan di sini hari ini. 

Mohamad berkata dia akan tinggal di menara itu sekiranya hujan berlarutan hingga dua hari untuk memantau paras Sungai Galas. 

“Saya menyediakan tilam dan sedikit makanan kering di menara ini sebagai bekalan untuk bermalam di sini ketika hujan berpanjangan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Aluwi Muda berkata menara tinjau dibina Mohamad banyak membantu penduduk Kampung Batu 14 membuat persediaan awal untuk memindahkan barang ke kawasan selamat.

“Biasanya kampung kami akan terkepung setiap kali banjir berlaku, jadi penduduk di sini amat menghargai usaha Mohamad dalam memberi amaran awal kepada kami," katanya sambil menambah sebanyak 14 keluarga mendiami kampung berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan