SUKAN

Jonassen Sasar Lonjakkan Prestasi Perseorangan Wanita

26/11/2024 12:28 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov -- Perseorangan badminton wanita Malaysia sering dilihat ketinggalan berbanding rakan mereka dalam skuad lelaki. 

Sehubungan itu, jurulatih perseorangan negara baharu, Kenneth Jonassen, menyasarkan untuk meningkatkan semula prestasi skuad itu dan membawanya ke peringkat lebih tinggi.

“Ia benar, berbanding perseorangan lelaki, pencapaian mereka tidak pada tahap yang sama. Tapi itulah antara cabarannya.

“Saya perlu mengenali dan memahami pemain dan memberi mereka harapan, dan menunjukkan kepada mereka bahawa ia mampu dilakukan. Tapi sebelum itu, kita perlu melihat mereka meningkat maju menerusi latihan, dan kemudian bina kepercayaan mereka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagi mencapai matlamat itu, beliau berkata akan menggunakan pendekatan yang sama yang dilakukan untuk perseorangan lelaki namun dengan sedikit pengubahsuaian.

“Peranan utama saya bagi pemain perseorangan wanita adalah menerusi perbualan. Dari pengalaman saya, meragui (kemampuan) diri sendiri ialah isu yang besar bagi kebanyakan pemain.

“Mereka perlu mengetahui bahawa kami percayakan mereka dan memberi mereka peluang untuk bertanding pada peringkat tertinggi bagi membina keyakinan mereka,” katanya.

Sabtu lepas, Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk V. Subramaniam mengumumkan Jonassen sebagai ketua jurulatih perseorangan kebangsaan yang baharu dengan kontrak empat tahun hingga 2028.

Warga Denmark itu akan memulakan tugas secara rasmi pada 4 Jan depan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan