EKONOMI

PKS Perlu Segera Sepadukan Amalan ESG Dalam Operasi Perniagaan - BNM

26/11/2024 08:38 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu segera mengintegrasikan amalan alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) dalam operasi perniagaan untuk mengekalkan daya saing di pasaran dan memastikan kelebihan mampan dalam jangka panjang, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurut bank pusat, penguatkuasaan global dalam peraturan ESG oleh negara tertentu seperti di Kesatuan Eropah telah memberi kesan kepada pengeksport langsung dan tidak langsung Malaysia yang terlibat dalam rantaian bekalan.

Sehubungan itu, langkah ini mungkin akan mempengaruhi kaedah PKS menjalankan perniagaan pada masa depan, terutama berikutan permintaan untuk pembekal mematuhi amalan ESG yang terus meningkat, kata BNM semasa bengkel media bertajuk “Sustainability in Financial Sector: Greening Finance and Financing Green” di sini hari ini.

"Selain itu, kemampuan untuk bertahan akan menjadi antara sebab utama untuk PKS mengintegrasikan ESG dalam perniagaan mereka.

"Terdapat beberapa kos dan pelaburan yang perlu dilakukan PKS untuk melaksanakan langkah peralihan, tetapi ini akan memberikan manfaat jangka panjang untuk perniagaan," kata BNM.

Bank pusat berkata syarikat misalnya boleh mengurangkan kos operasi perniagaan dengan menggunakan inisiatif kecekapan tenaga.

Menurut BNM, ia akan terus memudahkan peralihan PKS kepada ESG menerusi dana berkaitan seperti kemudahan peralihan karbon rendah dan kemudahan berteknologi tinggi dan hijau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan