PUTRAJAYA, 27 Nov (Bernama) -- Sebanyak 2,600 pencari kerja telah hadir ke reruai jabatan dan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang dibuka bersempena dengan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) di ibu negara bermula 22 hingga 24 Nov lepas.
Dalam kenyataan hari ini, kementerian berkenaan memaklumkan daripada jumlah itu, 1,800 pencari kerja telah menjalani sesi temu duga manakala 450 orang berjaya memperoleh tawaran pekerjaan secara langsung dengan pendapatan antara RM2,000 dan RM4,000.
Menurut kenyataan itu, secara keseluruhan, reruai KESUMA telah menarik kunjungan 8,800 orang yang hadir untuk mendapatkan khidmat nasihat dan maklumat berkaitan inisiatif kementerian.
“KESUMA telah mencatatkan pencapaian cemerlang sepanjang pameran 2TM dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Sambutan ini menjadi platform strategik untuk mendekati rakyat, majikan dan pekerja dalam mempromosikan inisiatif serta usaha KESUMA bagi memperkasakan sektor tenaga kerja negara,” menurut kenyataan itu.
Dari segi komitmen terhadap kebajikan pekerja, KESUMA menjelaskan sebanyak 70 aduan telah diterima sepanjang pameran yang mencerminkan usaha berterusan kementerian itu dalam menangani pelbagai isu berkaitan pekerja dengan penuh keprihatinan.
Bertemakan "MADANI di Hati, Rakyat Disantuni", program yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu telah menarik kehadiran sejumlah 343,294 pengunjung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial