JENAYAH & MAHKAMAH

Pesara Rugi RM577,000 Terpedaya Pelaburan Tidak Wujud

27/11/2024 12:03 PM

KUANTAN, 27 Nov (Bernama) -- Seorang pesara lelaki berusia 56 tahun mengalami kerugian RM577,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang diiklan menerusi media sosial bulan lepas. 

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata pada mulanya lelaki itu berminat menyertai skim pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan lumayan selepas melihat satu tawaran hebat di platform Facebook. 

Beliau berkata lelaki itu kemudiannya diberikan pautan untuk mengisi maklumat peribadi, dan dalam tempoh 8 Okt sehingga 21 Nov, dia telah membuat 15 transaksi menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta simpanan sendiri untuk pembelian saham menerusi aplikasi yang diberikan. 

“Dia kemudiannya dimaklumkan telah mendapat keuntungan lebih  RM7.7 juta, namun dia mula menyedari ditipu setelah hasil keuntungan itu tidak dapat dikeluarkan, malah aplikasi pelaburan berkenaan dipadamkan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Yahaya berkata lelaki itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan