AM

Loji Insinerator Langkawi Kembali Beroperasi Jun Tahun Depan

27/11/2024 03:40 PM

ALOR SETAR, 27 Nov (Bernama) -- Loji rawatan termal (insinerator) di Langkawi dijangka kembali beroperasi pada Jun tahun depan selepas kerja-kerja pembaikan selesai dilakukan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kesihatan Kedah Mejar (B) Mansor Zakaria berkata terdapat beberapa kerosakan pada komponen utama loji berkenaan dan kerja-kerja pembaikan mengambil masa enam bulan.

“Loji insinerator telah beroperasi di bawah seliaan operator Drizzle Enginering Sdn Bhd setelah lulus pengujian dan pentauliahan pada Okt 2022.

“Pada 3 Mei 2024, Kontrak Pengoperasian dan Penyelenggaraan Loji Insinerator Pulau Langkawi telah dianugerahkan kepada syarikat Bumi Segar Indah Sdn Bhd bagi tempoh enam tahun,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Tokai) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini hari ini.

Beliau berkata syarikat terbabit juga dikehendaki menjalankan operasi dan penyelenggaraan loji insinerator termasuk menaik taraf loji dengan penambahan komponen dalam tempoh dua tahun.

“Operator diarahkan untuk menjalankan operasi pembakaran sampah sekurang-kurangnya 3,000 jam setahun atau 11 hari sebulan. 

“Ia bagi memberi ruang kepada operator menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan yang perlu untuk pastikan loji dapat beroperasi pada kadar optimum, iaitu keupayaan membakar hingga 100 tan sehari,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) dengan syarikat swasta bagi pembinaan pusat pelupusan sampah berkonsepkan waste to energy (WTE), Mansor berkata buat masa ini, ia belum dimuktamadkan.

“WTE ini memerlukan tapak yang sangat luas lebih kurang 50 ekar (lebih 20 hektar) dan memerlukan sekurang-kurangnya 1,000 tan sampah sehari untuk pengoperasian.

“Kita juga terima cadangan daripada beberapa syarikat, mereka lebih berminat agar pusat pelupusan WTE berada di tengah negeri bagi memudahkan sampah dari seluruh daerah dihantar ke pusat tersebut…tapi hingga hari ini belum ada keputusan muktamad berkenaan projek WTE,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan