SUKAN

Beregu Lelaki Bersiap Sedia Hadapi Kalendar 2025 - Bin Shen

27/11/2024 04:36 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Jurulatih beregu lelaki negara Tan Bin Shen optimis anak buahnya mempunyai masa yang mencukupi untuk memperbaiki kelemahan dan bersiap sedia menghadapi kalendar Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2025.

Bin Shen berkata penampilan beregu lelaki utama negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik di Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di Hangzhou, China pada Disember ini, menjadi peluang terbaik untuk mengenal pasti kelemahan secara terperinci ketika beraksi menentang pasangan terbaik dunia.

“Bagi pemain yang tidak bermain pada WTF, mereka ada masa sebulan, yang main WTF akan ada dua minggu latihan sebelum pergi bertanding.

“Aaron-Wooi Yik pula, kita tidak boleh juga asyik berlatih sebab tak nampak tahap mereka dekat mana. Jadi pergi WTF memang bagus,” katanya kepada pemberita baru-baru ini. 

Bin Shen ketika mengulas mengenai prestasi anak buahnya yang menunjukkan permulaan positif pada awal tahun, tetapi merosot menjelang hujung tahun berkata situasi itu berpunca daripada beberapa pemain yang terpaksa bergelut dengan masalah kecederaan, seperti Choong Hon Jian dan Yap Roy King.

Beliau berkata sukar bagi pemain mencari momentum apabila berlaku kecederaan dan lebih mencabar lagi apabila mereka berjaya menemui rentak namun terpaksa bermula sekali lagi kerana mengalami kecederaan berulang.

“Hon Jian pun cedera balik, kemudiannya mula sekali lagi. Dalam beberapa kejohanan nampak macam tak yakin, belum dapat momentum dalam gelanggang. Roy King-Wan Arif Junaidi cedera juga, tapi perlahan-lahan dapat balik rentak mereka, jadi bagi saya mereka main dekat Masters China,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang terlepas peluang beraksi di WTF, beliau berkata kekurangan konsistensi menjadi punca utama.

Beliau berkata mereka sering kehilangan mata dengan cepat akibat kekurangan fokus ketika berada di gelanggang, walaupun berpeluang meraih mata dalam perlawanan.

Ranking beregu lelaki di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyaksikan Aaron-Wooi Yik menduduki tempat kelima dunia, diikuti Wei Chong-Kai Wun (ke-14 dunia), Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri (ke-19 dunia) dan Wan Arif-Roy King (ke-22 dunia). 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan