AM

Micron, GPFM Salur Dana RM1 Juta Bantu Orang Asli Dapat Bekalan Air Bersih

27/11/2024 09:10 PM

TANGKAK, 27 Nov (Bernama) -- Micron Technology, pengeluar cip memori yang berpangkalan di Amerika Syarikat, bekerjasama dengan Yayasan Keamanan Global Malaysia (GPFM) untuk membantu komuniti Orang Asli di Johor dan Negeri Sembilan mendapatkan bekalan air bersih bagi keperluan harian mereka.

Naib Presiden Korporat Bahagian Pemasangan serta Operasi Ujian NAND (Singapura dan Malaysia) Micron Technology Amarjit Sandhu berkata inisiatif yang dinamakan “Projek AquaConnect” di bawah projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu akan memberi manfaat kepada lebih 1,700 penduduk Orang Asli.

Beliau berkata projek itu akan dijalankan di empat kampung Orang Asli di Kampung Sungai Mahang, Negeri Sembilan dan tiga di Johor iaitu Kampung Sungai Mering, Tangkak serta Kampung Kudung dan Kampung Kemidak, Segamat.

“Melalui kerjasama ini (dengan GPFM), kami menyalurkan dana RM1 juta untuk menyediakan sistem penyediaan bekalan air bersih yang sumbernya diambil dari sungai berhampiran.

“Dalam tempoh 12 bulan akan datang, kira-kira 1,700 penduduk dari 460 keluarga di kampung itu akan mendapat manfaat daripada menaik taraf sistem bekalan air mereka,” katanya semasa pelancaran Projek AquaConnect di Kemudahan Micron Muar, Tanjung Agas di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri Johor Maharani Datuk Ashari Md Sarip, Ketua Pegawai Eksekutif GPFM Dr Teh Su Thye dan wakil masyarakat Orang Asli Mamak Panjang Pandak.

Amarjit berkata projek itu juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan sasaran meningkatkan tahap kesihatan, meningkatkan pemerkasaan komuniti dan komitmen jangka panjang terhadap pembangunan.

Sementara itu Teh berkata projek berkenaan akan menyediakan akses penting bagi air bersih kepada masyarakat yang berada di pedalaman, selain meningkatkan kemudahan sanitasi di empat kampung ini.

“Kita di GPFM ini akan sentiasa melakukan aktiviti berbentuk CSR termasuk kepada masyarakat Orang Asli, sekali gus menangani isu kebolehcapaian air bersih,” katanya.

Mamak Panjang pula berkata pihaknya gembira dan bersyukur kerana ada pihak sudi menghulurkan bantuan dari segi kepakaran dan peruntukan tertentu untuk mereka.

“Selama ini kami mengambil air di anak sungai berhampiran dan belum tentu akan kebersihannya, dengan adanya program ini ia secara tidak langsung memberikan penyelesaian jangka panjang untuk kami,” katanya

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan