SHAH ALAM, 27 Nov (Bernama) – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan pertemuan dengan kesatuan jururawat bagi mendapatkan input selain mengenal pasti perkara berbangkit yang berkaitan dengan penambahan waktu kerja profesion itu daripada 42 jam kepada 45 jam seminggu, berkuat kuasa 1 Disember ini.
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pertemuan esok itu akan melibatkan lima kesatuan jururawat yang telah menyatakan kesediaan berbincang dan berkongsi pandangan berhubung pelaksanaan arahan baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) itu.
Beliau berkata kesatuan yang terlibat adalah Kesatuan Jururawat Malaya; Kesatuan Bidan-bidan dan Jururawat Masyarakat Kerajaan Semenanjung Malaysia; Kesatuan Perkhidmatan Kesihatan Sabah; Kesatuan Perkhidmatan Kesihatan Sarawak dan Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Kita mahu supaya pelaksanaan arahan ini dilaksanakan dengan kita telah benar-benar dapat pastikan kepentingan, kebajikan dan kemaslahatan mereka yang terlibat, khususnya jururawat dapat kita bela dan jamin.
“Untuk sampai ke situ, saya kira kita perlu mengadakan beberapa libat urus dengan pihak berkepentingan agar semua hal berbangkit diuruskan sesegera mungkin,” katanya mengulas kebimbangan kesatuan itu serta beberapa pihak lain berhubung beban tugas serta kesan kepada jururawat daripada pelaksanaan arahan baharu SSPA itu.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan 10th International Conference On Traditional and Complementary Medicine (10th INTRACOM) 2024 di Auditorium Perdana, Institut Kesihatan Negara (NIH) di sini hari ini.
Sebelum ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dilaporkan mahu KKM mengadakan dialog menyeluruh antara kerajaan dan badan profesional seperti Kesatuan Jururawat Malaya, kerana ketiadaan libat urus sedemikian melemahkan pendekatan kolaboratif yang diperlukan untuk merangka dasar yang adil dan sesuai dengan realiti lapangan.
Sementara itu Dzulkefly berkata beliau berpandangan tidak ada halangan bagi mana-mana pihak memfailkan saman terhadap kerajaan, namun keputusannya bergantung kepada proses perundangan di mahkamah.
Beliau berkata sebagai sebuah negara yang mengamalkan kedaulatan undang-undang sesiapa sahaja boleh mengambil tindakan mahkamah, tidak terkecuali kepada kerajaan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas saman berjumlah RM60 juta difailkan oleh lapan individu terhadap kerajaan Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mendakwa vaksinasi COVID-19 telah menyebabkan kematian dan komplikasi kesihatan teruk, dengan beliau sebagai seorang daripada 25 defendan yang dinamakan dalam saman itu.
Dzulkefly bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai hal itu sebaliknya meminta menunggu tindakan seterusnya yang akan diambil kerajaan kelak.
“Tidak banyak yang saya boleh komen, kita tunggu dalam proses perundangan untuk mempertahankan diri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial