JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Empat Lelaki Terlibat Kegiatan Ugut Peminjam Along

27/11/2024 08:43 PM

JOHOR BAHRU, 27 Nov (Bernama) -- Polis menahan empat lelaki ang disyaki membuat ugutan dengan perbuatan khianat menggunakan api ke atas kediaman mereka yang meminjam wang daripada ceti haram atau Along, yang gagal melunaskan pinjaman.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata semua suspek berumur 15 hingga 20 tahun itu ditahan di sekitar daerah Johor Bahru dan Pontian pada 15 dan 16 Nov lepas.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek menerima upah kira-kira RM1,000 daripada sindiket Along bagi setiap ugutan atau perbuatan khianat yang dilakukan, dan kumpulan ini didapati aktif menjalankan kegiatan mereka di Johor sejak Okt lepas, khususnya sekitar sini.

“Sindiket pinjaman wang ini akan mengiklankan tawaran pinjaman di media sosial dengan menggunakan kapsyen ‘Pinjaman Wang Berlesen Singapura’ bagi memperdaya mereka yang berminat,” katanya dalam kenyataan hari ini

Kumar berkata sindiket ini biasanya akan bertindak memasukkan sejumlah wang di akaun bank mereka yang berminat membuat pinjaman, walaupun belum ada persetujuan ketika itu, dan penerima wang berkenaan akan dipaksa membuat bayaran balik dengan kadar faedah yang tinggi.

“Kebanyakan mangsa adalah penduduk tempatan yang bekerja di Singapura, dan dengan tertangkapnya suspek, polis telah berjaya menyelesaikan sembilan kes dengan modus operandi yang sama,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan