JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Bunuh Pelajar Kolej Vokasional: 107 Kecederaan Ditemukan Pada Tubuh Mangsa

27/11/2024 10:23 PM

TAWAU, 27 Nov (Bernama) -- Seorang pakar patologi forensik memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa terdapat 107 kecederaan ditemukan pada mayat pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul.

Saksi kelima pendakwaan Dr Dzureena Abdul Multalib, 39, berkata berdasarkan pemeriksaan beliau pada tubuh mangsa, kecederaan itu terdiri daripada 102 kesan lebam dan lima luka melecet.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan kes 13 pelajar berusia lingkungan 16 hingga 19 tahun yang didakwa membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian di kolej berkenaan antara 9 malam 21 Mac dan 7.38 pagi 22 Mac lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak lebih 12 kali jika sabit kesalahan.

Menerusi pernyataan saksinya, Dr Dzureena juga berkata berdasarkan penemuan susulan bedah siasat, punca kematian Mohamad Nazmie Aizzat dirumuskan sebagai kecederaan pada bahagian dada dan tisu lembut akibat trauma benda tumpul.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif sama ada kesemua kecederaan boleh menyebabkan kematian, Dr Dzureena mengakui perkara itu dan memaklumkan mahkamah bahawa terdapat kecederaan yang menunjukkan tindakan mangsa untuk mempertahankan diri.

Diminta mengulas lanjut mengenai apa yang dianggap sebagai trauma benda tumpul, beliau berkata ia merujuk kepada kecederaan akibat terjatuh di atas permukaan yang keras, perbuatan menendang dan menumbuk serta impak pukulan benda tumpul atau gabungan kesemuanya.

Nur Nisla: Bagaimana pula dengan perbuatan memukul atau menghayunkan tali kabel ke arah si mati, adakah ia dianggap sebagai trauma benda tumpul?

Dr Dzureena :  Ya.

Nur Nisla: Berdasarkan kecederaan itu, pada pandangan anda, jika si mati dipukul dengan tali kabel, ditumbuk berulang kali di seluruh badannya, ditendang pada bahagian pinggang, perut dan belakang, kepalanya dipijak serta ditolak ke loker besi, perbuatan mana yang mungkin menyebabkan kematian mangsa?

Dr Dzureena: Semua perkara yang disebutkan terutama gabungan kecederaan pada bahagian dada dan tisu lembut telah menyebabkan kematian mangsa.

Sementara itu, suasana prosiding bertukar suram apabila saksi keempat pendakwaan iaitu Siti Hamidah Jumari, 45, yang juga ibu mangsa, tidak dapat menahan perasaan dan menangis ketika diminta mengenal pasti gambar arwah anaknya oleh Nur Nisla.

Nur Nisla dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao dan Nur Batrisyia Mohd Khusri.

Lapan tertuduh diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamaruddin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye manakala lima lagi diwakili oleh Mohamad Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhassany P Kang dan Kusni Ambotuwo.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan