DUNIA

Iran Kecam PBB Kerana Tidak Bertindak Hentikan Genosid Israel Di Gaza

28/11/2024 07:08 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Iran pada Khamis mengkritik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas kegagalannya menghentikan serangan genosid Israel yang berterusan terhadap rakyat Palestin, ketika jumlah kematian di wilayah yang diduduki terus meningkat.

Dalam perutusan sempena Hari Perpaduan Antarabangsa dengan Rakyat Palestin, Presiden Iran Masoud Pezeshkian berkata selama lebih setahun, penduduk dunia telah bergantung kepada PBB untuk mencari jalan menangani genosid terhadap rakyat Palestin.

Beliau berkata malangnya, dunia telah menyaksikan ketiadaan tindakan PBB dan kekebalan pengganas yang menyamar sebagai negarawan yang mengajar kepada orang lain di PBB.

“Jika hari ini PBB dan khususnya Majlis Keselamatan gagal mencari jalan menangani jenayah pihak yang menduduki tanah Palestin, kredibiliti dan maruah pertubuhan ini akan terjejas teruk,” katanya.

Hari Perpaduan Antarabangsa dengan Rakyat Palestin yang disambut pada 29 November sejak 1978, diadakan bagi memperingati resolusi Perhimpunan Agung PBB yang membahagikan Palestin kepada negara Yahudi dan Arab pada 1947.

Pezeshkian berkata walaupun langkah badan dunia itu menetapkan hari solidariti bersama rakyat Palestin adalah berharga, tindakan yang diambil masih tidak mencukupi untuk menghentikan kekejaman berterusan rejim Zionis.

“Ketidakadilan yang telah dilakukan ke atas rakyat Palestin memerlukan perhatian dan tindakan global, manakala berdiam diri terhadap perkara ini adalah setara dengan normalisasi kejahatan dan kekejaman yang akan mencabar masa depan kemanusiaan,” katanya.

Beliau menekankan komitmen Iran untuk menyokong sepenuhnya perjuangan Palestin yang bebas dan merdeka, sambil menambah bahawa Tehran bersedia untuk bekerjasama dengan semua negara yang komited kepada prinsip kebebasan, kesaksamaan, keadilan dan hak asasi manusia, serta mempertimbangkan pembelaan terhadap tuntutan rakyat Palestin sebagai tanggungjawab semua individu bebas di dunia.

Beliau berkata langkah paling berkesan dan terpantas untuk bersimpati dengan rakyat Palestin ialah menghentikan rejim Zionis serta menamatkan sokongan antarabangsa terhadap "tumor kanser" itu.

Menurut beliau, Iran masih percaya bahawa satu-satunya penyelesaian berprinsip terhadap isu Palestin ialah kepulangan pelarian dan mengadakan referendum dalam kalangan rakyat asal Palestin, termasuk umat Islam, Kristian dan Yahudi, berdasarkan prinsip demokrasi dan undang-undang antarabangsa.

“Tidak dinafikan, dalam pertempuran yang menyakitkan dan tidak seimbang ini, kemenangan terakhir adalah untuk mereka yang bertekad, walaupun senjata ketenteraan terbesar dunia tidak dapat menggugat keazaman mereka dalam perjalanan menuju kemenangan,” katanya.

Lebih 44,300 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh manakala lebih 100,000 lagi cedera sejak Israel melancarkan serangan kejam di Gaza pada 7 Oktober tahun lalu.

Sekurang-kurangnya 10,000 orang masih hilang, dipercayai maut tertimbus di bawah runtuhan rumah mereka di seluruh Gaza.

Hampir keseluruhan daripada 2.3 juta penduduk di Gaza telah kehilangan tempat tinggal akibat pengeboman berterusan Israel.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan