AM

ASEAN-COCI Lulus Tiga Projek Malaysia Bernilai US$117,000

28/11/2024 10:36 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Jawatankuasa Kebudayaan dan Maklumat Asean (ASEAN-COCI) yang bersidang di Phnom Penh Kemboja hari ini, meluluskan tiga projek komunikasi bernilai kira-kira US$117,000 kepada Malaysia.

Kementerian Komunikasi menerusi kenyataan hari ini memaklumkan projek berkenaan ialah Guildelines for the Safe and Responsible Use of Social Media for ASEAN oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bernilai US$39,879 dan Seminar On Developing Training Module For Combating Fake News In ASEAN 2025 oleh Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dengan kos US$47,061.

Satu lagi projek Malaysia yang diluluskan untuk menggunakan dana ASEAN-COCI ialah Colour Of ASEAN (3rd Series) oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), melibatkan peruntukan berjumlah US$30,000.

Kelulusan itu diberikan selepas delegasi Malaysia diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin, membentangkan tiga kertas kerja projek berkenaan dalam mesyuarat Asean-COCI dihadiri 10 negara termasuk Timor Laste sebagai pemerhati ASEAN campur satu (ASEAN +1).

Menurut kenyataan itu, tiga pembentangan berkenaan antara 11 kertas cadangan baharu dibentangkan empat negara ASEAN yang berminat untuk mengadakan projek menggunakan dana ASEAN-COCI pada mesyuarat dipengerusikan Setiausaha Bahagian Kementerian Penerangan Kemboja Has Sam Ath.

Sementara itu Nik Kamaruzaman menerusi kenyataan sama berkata projek yang diluluskan itu akan memberikan impak positif kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, dalam membangunkan bidang komunikasi dan media.

Beliau berkata ia termasuk pembangunan modul latihan yang komprehensif dalam usaha menangani masalah berita palsu secara holistik untuk kesejahteraan negara dan ASEAN.

“Ini (juga) menunjukkan kepercayaan ASEAN terhadap Malaysia apabila meluluskan sejumlah peruntukan untuk menjayakan projek di Kuala Lumpur,” katanya.

Delegasi Malaysia yang turut serta ialah Setiausaha Bahagian Perhubungan Antarabangsa Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Dr Christina Yeo Ken Yin serta Ketua Pengarah IPPTAR Roslan Ariffin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan