JENAYAH & MAHKAMAH

11 Penumpang Bas Ditinggal Pemandu Semasa Ops Bersepadu

29/11/2024 10:49 AM

GOPENG, 29 Nov (Bernama) -- Sebuah bas ekspres yang menuju ke Pulau Pinang ditinggalkan begitu sahaja oleh pemandunya di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini malam tadi, ketika pihak berkuasa sedang menjalankan Ops Bersepadu ke atas kenderaan perdagangan di kawasan berkenaan.

Bas ekspress itu membawa kira-kira 11 penumpang dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menuju ke Sungai Nibong, Pulau Pinang itu semasa ditinggalkan pemandunya.

Difahamkan pihak berkuasa yang menjalankan pemeriksaan terhadap bas berkenaan menjumpai satu alat untuk penyalahgunaan dadah, dipercayai milik pemandu bas itu.

Pengarah Keselamatan Negeri Perak Mohd Zawawi Zakaria dalam sidang media selepas Ops Bersepadu itu berkata pihak berkuasa sedang mencari pemandu bas berkenaan, dan pemeriksaan lanjut terhadap bas itu masih dijalankan.

Operasi tiga jam bermula pukul 9 malam itu dilaksanakan buat julung kalinya oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak serta beberapa agensi lain.

Ia melibatkan 144 anggota pelbagai agensi, antaranya Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), imigresen, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, kastam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta petugas Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Mohd Zawawi berkata Ops Bersepadu itu bertujuan meningkatkan pemantauan yang memberi fokus kepada kenderaan perdagangan di kawasan berkenaan.

Sebanyak 155 kenderaan diperiksa dalam operasi itu, melibatkan 145 lori, enam van serta empat bas, dan sejumlah 61 saman dikeluarkan terhadap kenderaan perdagangan membabitkan pelbagai kesalahan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan