KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Usaha mengubah sektor pelabuhan Malaysia menjadi lebih hijau memerlukan lebih daripada dasar semata-mata bagi transformasi pelabuhan serta amalan lebih mampan, kata Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) Kapten Subramaniam Karuppiah.
Beliau berkata aspek seperti usaha memperkukuh perundangan Malaysia berkaitan pelabuhan hijau dan amalan mampan, perlu dilaksanakan bagi memacu perubahan dalam industri berkenaan.
“Dasar memang bagus untuk dijadikan sebagai panduan. Kita juga dapat lihat bagaimana ngara-negara yang mempunyai peraturan amat ketat ini mencatat kemajuan lebih pantas.
“(Namun) jika hanya berharap kepada dasar dan garis panduan tanpa sebarang kerangka undang-undang jelas, akan memakan lebih banyak masa (bagi pengendali pelabuhan memulakan amalan pelabuhan yang lebih hijau),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi bertajuk “Asian Ports and Green Ports” bersempena Persidangan Undang-Undang dan Perniagaan Maritim Asia di sini, pada Jumaat.
Dari segi konteks, PKA telah mewujudkan Dasar Pelabuhan Hijau yang menumpukan aspek memasukkan keseimbangan antara alam sekitar, sosial dan ekonomi dalam operasi di Pelabuhan Klang.
Dasar itu menumpukan tujuh bidang iaitu kualiti udara dan air, pengurusan sumber dan sisa, pengurusan alam sekitar, penglibatan komuniti dan menggalakkan perniagaan mampan.
Selain itu, Subramaniam berkata penyediaan pelabuhan bagi tujuan pengisian bahan api alternatif seperti ammonia, hidrogen dan berpotensi nuklear, akan melibatkan pelaburan infrastruktur yang besar.
“Walaupun pada hakikatnya pelabuhan merupakan sebahagian daripada penyelesaian dalam ‘membersihkan’ industri perkapalan, pembiayaan terhadap infrastruktur ini kekal menjadi cabaran.
“Ini memerlukan sokongan kerajaan melalui mekanisme seperti penetapan harga karbon untuk membantu peralihan pelabuhan dan memenuhi permintaan baharu ini dengan lebih berkesan," katanya.
Sementara itu, mengulas peralihan kepada pelbagai bahan api dalam industri perkapalan Asia, Timbalan Pengarah Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) Lim Xuan Hong berkata pelabuhan di Asia berpotensi besar memainkan peranan penting dalam perjalanan rantaian bekalan menuju penyahkarbonan, terutamanya apabila sembilan daripada 10 pelabuhan utama dunia berada di Asia.
"Bagi Singapura, kami telah berusaha melakukan kemajuan dari segi pendigitalan, seiring dengan objektif kemampanan dan penyahkarbonan, yang turut membantu syarikat perkapalan menjadi lebih cekap dan mengurangkan masa menunggu," katanya.
Beliau berkata Singapura juga telah merintis operasi pertama dunia untuk hidrogen, ammonia serta metanol sebagai bahan api marin dan terus menyokong penyelesaian inovatif dalam bidang ini.
Lim berkata peralihan kepada pelbagai bahan api juga memerlukan kerjasama, pengawalseliaan dan inisiatif dipacu pasaran dalam menangani pelbagai konteks global dan cabaran teknologi.
“Singapura telah bekerjasama dengan syarikat teknologi untuk mengintegrasikan teknologi termaju, seperti Kecerdasan Buatan dalam pelabuhannya. Inovasi ini meningkatkan kecekapan pelabuhan dengan menjangka permintaan untuk bahan api dan kapal masuk, serta memperkemas proses seperti pemeriksaan dokumen dan pensijilan kapal.
“Hasilnya ialah operasi yang lebih pantas, pengurangan pelepasan dan kemampanan yang dipertingkatkan yang juga strategi utama memodenkan pelabuhan dan menyokong usaha penyahkarbonan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial