EKONOMI

Untung Bersih Suku Ketiga Public Bank Naik Kepada RM1.91 Bilion

29/11/2024 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih Public Bank Bhd bagi suku ketiga (S3) tahun kewangan 2024 meningkat kepada RM1.91 bilion daripada RM1.70 bilion tahun lepas dipacu oleh pertumbuhan pinjaman dan deposit pelanggan yang sihat.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ia berkata keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang ekuiti meningkat RM211.2 juta atau +12.4 peratus dalam tempoh yang sama.

Hasil bagi suku semasa meningkat kepada RM6.81 bilion daripada RM6.48 bilion sebelumnya.

Bagi tempoh sembilan bulan terkumpul, keuntungan bersih meningkat kepada RM5.35 bilion daripada RM5.03 bilion dan hasil meningkat kepada RM20.29 bilion daripada RM18.87 bilion.

“Bagi suku dalam tinjauan, pendapatan faedah bersih dan perbankan Islam meningkat RM147.7 juta (+5.5 peratus) disebabkan oleh faedah bersih dan margin pembiayaan yang lebih baik serta pinjaman dan pertumbuhan pembiayaan yang positif.

"Pendapatan bukan faedah meningkat RM112.0 juta (+18.0 peratus), didorong oleh pendapatan fi bersih dan komisen keseluruhan yang lebih tinggi, serta pendapatan pertukaran asing," katanya.

Bank itu berkata sumbangan keuntungan daripada syarikat bersekutu meningkat RM76.1 juta pada suku semasa, manakala peruntukan rosot nilai pinjaman dan pembiayaan berkurangan RM54.4 juta.

“Ini sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan dalam perbelanjaan operasi lain sebanyak RM103.3 juta (+9.2 peratus), yang disebabkan oleh kos kakitangan dan penubuhan yang lebih tinggi yang timbul daripada peningkatan dalam aktiviti perniagaan,” katanya.

Ia berkata kumpulan itu melaporkan kerugian komprehensif lain (bersih) lebih tinggi sebanyak RM911.4 juta kepada RM951.7 juta pada suku semasa disebabkan oleh kerugian lebih tinggi pada penukaran mata wang asing akibat pengukuhan ringgit dan kerugian pada lindung nilai aliran tunai pada suku semasa berbanding keuntungan yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.

"Ini sebahagiannya dikurangkan oleh keuntungan daripada penilaian semula pelaburan kewangan pada suku semasa," tambahnya.

Mengenai prospek, bank itu berkata ekonomi global terus disokong oleh inflasi sederhana dan dasar monetari yang kurang ketat oleh bank-bank pusat utama. Bagaimanapun, prospek itu tertakluk kepada risiko penurunan terutamanya daripada ketegangan geopolitik yang berlarutan dan pertumbuhan yang lebih perlahan dalam ekonomi-ekonomi utama.

“Di peringkat domestik, ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang, disokong oleh permintaan domestik yang stabil dan prospek eksport yang lebih baik.

“Bagaimanapun, ketegangan geopolitik global dan perdagangan luar berkemungkinan akan terus menimbulkan risiko penurunan kepada ekonomi,” katanya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank Tan Sri Tay Ah Lek berkata: “Dengan memanfaatkan prospek ekonomi yang bertambah baik, kumpulan Public Bank terus melihat peluang untuk pertumbuhan perniagaan perbankan."

“Kumpulan akan terus secara proaktif menerima inovasi produk dan mempertingkatkan ciri-ciri produk bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin berkembang.

“Bagaimanapun, kumpulan akan sentiasa kekal berwaspada dan terus mengukuhkan daya tahan asasnya untuk memastikan kestabilan dan kemampanan dalam mencipta nilai untuk pihak-pihak berkepentingan," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan