EKONOMI

Mengingati Ananda Krishnan

29/11/2024 06:10 PM

Oleh Azman Ujang

 KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Taikun bertaraf bilionair T. Ananda Krishnan, yang meninggal dunia semalam pada usia 86 tahun, jarang memberikan temu bual eksklusif kepada media, menjadikan beliau dikenali sebagai seorang yang menjauhi perhatian media dalam kalangan individu terkaya di Malaysia.

Beliau sangat menjaga privasinya dan daripada Google, berikut adalah petikan daripada Ananda yang menjelaskan sebab beliau mengelak publisiti: “Saya pernah mendengar orang mengatakan saya seorang yang low-profile. Kenapa seseorang perlu jadi high-profile? Saya hanya menjalankan tugas saya. Jika anda mengatakan saya low-profile, justeru, dari segi definisi, ia bermaksud saya perlu jadi high-profile. Tetapi kenapa?” 

Sepanjang tempoh kerjaya saya yang panjang sebagai wartawan, saya mempunyai beberapa kenangan indah mengenai AK, atau nama ringkasnya yang dikenali ramai, daripada beberapa pertemuan di dalam mahupun di luar negara.

Kali pertama saya bertemu beliau ialah beberapa bulan sebelum pembinaan Menara Berkembar Petronas yang ikonik bermula pada 1993.

Ananda yang mencetuskan idea pembinaan Menara Berkembar 88 tingkat itu kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau seterusnya diberi tanggungjawab untuk mengetuai pembinaan projek tersebut di tengah-tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur, di atas tanah yang dahulunya merupakan trek lumba kuda yang diuruskan oleh Selangor Turf Club.

Saya masih ingat Ananda memberikan taklimat kepada pihak media mengenai projek besar yang belum pernah dilakukan sebelum ini, menunjukkan kepada kami carta dengan reka bentuk Menara Berkembar tersebut, sebelum ia menjadi mercu tanda terkenal di dunia.

Kemudian, beliau menjemput kami untuk mengemukakan soalan dan bagi wartawan yang hadir, itu mungkin merupakan pengalaman pertama mereka bersamanya.

Saya mengemukakan soalan pertama dengan memberitahu beliau bahawa saya tidak begitu kagum dengan projek itu jika apa yang dirancang dan kemudiannya dibina adalah untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai satu lagi New York.

Beliau kelihatan terkejut dengan soalan provokasi saya tetapi kemudian bertanya: Oleh itu, apa cadangan anda? 

Saya memberitahu beliau bahawa untuk mengelak ia menjadi hutan konkrit yang besar, perlu ada sebahagian besar tanah yang diperuntukkan untuk taman hijau di sekitar kawasan itu bagi mengelaknya menjadi terlalu padat.

Ananda memberi respons dengan berkata: “Cadangan diterima, kami akan mempertimbangkannya,” sambil mengucapkan terima kasih atas idea tersebut, sekali lagi menunjukkan kerendahan hatinya.

Saya fikir itu adalah pengakhiran kepada perkara tersebut tetapi kira-kira dua bulan kemudian, saya menerima panggilan daripada pembantu kanan Ananda yang menyampaikan berita yang sangat baik kepada seseorang seperti saya, seorang wartawan.

Pembantu tersebut memberitahu saya bahawa Ananda bersetuju dengan idea yang saya nyatakan pada sidang media itu dan sesuatu akan dirancang dengan sewajarnya.

Ia bukan niat saya menulis penghormatan ini buat Ananda untuk menuntut sebarang pujian. Bagaimanapun, tidak lama kemudian sebuah taman besar telah dibina berhampiran Hotel Mandarin Oriental.

Pertemuan saya seterusnya dengan Ananda adalah pada 1996 semasa pelancaran stesen satelit MEASAT 2 oleh Dr Mahathir di Kouru di Guiana Perancis, kira-kira tujuh jam penerbangan dari Paris.

Kedua-dua MEASAT 1 dan 2 adalah pelopor kepada stesen televisyen berbayar Astro, yang mencapai dua pertiga daripada isi rumah Malaysia pada tahun ini, menurut laman webnya.

Sejurus pelancaran itu, beliau bertemu dengan kumpulan kecil media Malaysia yang membuat liputan acara tersebut.

Belum sempat kalangan wartawan membuka mulut untuk bertanyakan soalan, sesuatu tidak dijangka berlaku.

Beliau sebenarnya lebih tertarik dengan kemeja putih berkolar Nehru yang saya pakai kerana fesyen sedemikian menjadi gaya khusus yang sinonim dengan beliau.

“Kemeja saudara cantik,” katanya, dan dibalas dengan ucapan terima kasih saya atas pujian itu. Saya menyangka perbualan tersebut berakhir begitu sahaja namun, sebaliknya tidak.

Ananda bertanya lanjut: “Di mana saudara menempah kemeja ini dan berapa harganya?”

Walaupun saya sering mengemukakan pertanyaan yang “berani” semasa sidang media namun, soalan mengenai perihal kecil seperti kemeja yang dilontarkan oleh seorang bilionair benar-benar di luar jangkaan saya.

“Anda baru sahaja menyaksikan pelancaran stesen satelit (syarikat anda) yang kosnya hampir satu bilion ringgit, tapi sekarang anda bertanyakan harga kemeja saya?” saya membalas pertanyaan beliau yang disambut gelak tawa wartawan lain.

“Saya agak segan untuk menjawab soalan anda...namun oleh kerana anda bertanya, kemeja saya dibuat oleh tukang jahit di sebuah kedai berhampiran Hotel Federal di Kuala Lumpur. Harganya lebih kurang RM200,” kata saya.

Jawapan balas seterusnya daripada AK merupakan sesuatu yang tidak mungkin saya lupakan: “Mahal sangat. Kemeja saya pun hanya RM40 dan saya beli di Manila.”

Begitulah pendekatan Ananda dalam mempamerkan sisi kerendahan hatinya. Beliau benar-benar insan yang begitu merendah diri.

Kali terakhir pihak pejabatnya menghubungi saya adalah kira-kira dua minggu sebelum hari pengundian Pilihan Raya Umum 2004.

“AK mahu bertemu saudara di pejabat beliau pada 2 petang hari ini. Boleh tak?” soal pembantunya.

“Beliau mahu saudara berkongsi pandangan mengenai pilihan raya umum ini.” 

Ternyata, hari itu bukanlah hari bertuah saya.

Ketika itu saya sebaliknya berada di Ipoh, Perak dan cadangan pertemuan tersebut tidak memberi tempoh yang cukup untuk saya tiba di pejabat Ananda. Itulah alasan yang saya jelaskan kepada pembantunya.

Sejak itu, saya tidak lagi menerima panggilan selanjutnya dari pejabat Ananda.

Terlintas di hati saya, kemungkinan AK tidak lagi berada di Malaysia kerana kebanyakan masa, beliau berada di luar negara.

Saya telah cuba beberapa kali untuk bertemu dengan beliau sejak beberapa tahun lepas namun beliau jarang sekali berada di sini.

Pastinya, Ananda seorang yang luar biasa dalam pelbagai cara, dan tidak keterlaluan jika dikatakan sukar untuk bertemu dengan seorang lagi warga Malaysia seumpama beliau.

-- BERNAMA


 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan