AM

Dua Beradik Maut, Seorang Cedera Insiden Tanah Runtuh Di Kuala Berang

29/11/2024 09:25 PM

KUALA BERANG, 29 Nov (Bernama) -- Dua beradik perempuan terkorban dalam insiden tanah runtuh yang menghempap rumah mereka di Kampung Bukit Apit, Ajil, di sini pada 4.30 petang tadi. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Hassan ‘As’ari Omar berkata seorang lagi mangsa iaitu abang kepada dua yang maut, ditemukan cedera.

“Ketika kejadian hanya ada tiga mangsa di rumah tersebut. Mangsa yang cedera dikenali sebagai Uzair Azman, 17, diselamatkan pada 5.17 petang manakala dua remaja perempuan yang terkorban dipercayai adiknya.

“Korban pertama dikeluarkan pada 6.32 petang dan yang kedua ditemui pada 6.59 petang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini. 

Beliau berkata kedua-dua mereka yang terkorban ditemukan bertindih dipercayai di ruang tamu rumah berdasarkan pelan kediaman yang diterima pasukan penyelamat.

Hassan ‘As’ari berkata pasukan penyelamat melibatkan 76 anggota daripada pelbagai agensi, mengambil masa kira-kira dua jam untuk mencari dan menyelamat (SAR) setelah berdepan kesukaran untuk mengeluarkan mangsa disebabkan halangan runtuhan dan binaan rumah.

“Uzair dan mayat dua adiknya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tindakan lanjut,” katanya sebelum mengesahkan operasi SAR ditamatkan pada 7 malam tadi.

Terdahulu, Bernama melaporkan tiga individu dipercayai daripada satu keluarga terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil.

Dalam pada itu, Hassan ‘As’ari berkata berdasarkan pemerhatian tanah di belakang kediaman itu tidak begitu tinggi namun disebabkan hujan yang berterusan, pihaknya tidak menolak risiko berlaku runtuhan susulan. 

“Oleh itu, saya mohon dan menasihatkan agar kediaman berdekatan lokasi insiden segera dikosongkan atas faktor keselamatan,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu Maliaman Kassim berkata pihaknya telah menyediakan rumah sewa untuk didiami waris mangsa selain akan membantu menguruskan pengebumian dua beradik tersebut. 

“Kami juga akan salurkan bantuan bersesuaian kepada mangsa yang dirawat di hospital,” katanya.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Menengah Kebangsaan Ajil Zubaidi Mohd pula berkata mangsa yang terkorban ialah pelajarnya yang kedua-duanya disifatkan aktif bersukan.

“Mereka banyak berjasa dan mengharumkan nama sekolah dalam kegiatan sukan seperti merentas desa dan olahraga. Pemergian mereka kehilangan besar buat kami,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan