DUNIA

FBM KLCI Diunjur Dalam Julat 1,600-1,610 Minggu Depan

30/11/2024 10:46 AM

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka mengekalkan momentum pemulihannya pada beberapa minggu akan datang dengan FBM KLCI diunjurkan dalam julat antara 1,600 hingga 1,610 minggu depan, kata Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan.

Beliau berpendapat bahawa pembelian semasa harga rendah akan menyokong pasaran.

“Walaupun indeks secara ringkas merosot ke wilayah negatif minggu ini, melepasi paras psikologi 1,600, peningkatan mungkin akan berlaku.

“Pembeli saham murah merebut peluang susulan tempoh pendapatan berakhir dan sentimen pasaran secara keseluruhan kekal menyokong secara meluas, katanya.

Mohd Sedek berkata momentum meningkat dalam indeks Amerika Syarikat (AS) menunjukkan kenaikan harga berterusan yang boleh merebak ke pasaran serantau termasuk Malaysia.

Beliau mengaitkan trend menurun pada penghujung minggu dengan cuti sambutan Hari Kesyukuran (Thanksgiving) di Amerika Syarikat yang membawa kepada penurunan jumlah penyertaan pasaran.

Waktu dagangan yang dipendekkan pada Jumaat juga boleh memberikan petunjuk terhad untuk Isnin depan.

“Walaupun volum dagangan yang rendah mungkin telah menyebabkan penurunan, aliran keseluruhan secara relatifnya kekal stabil. Ini menunjukkan walaupun sikap berhati-hati adalah wajar, FBM KLCI boleh menjadi stabil dalam tempoh terdekat walaupun dalam julat kecil,” katanya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng pula menjangkakan bahawa FBM KLCI kekal dalam mod penyatuan, diniagakan tidak berubah dalam lingkungan 1,590 hingga 1,610 minggu depan disebabkan peserta pasaran menunggu perkembangan baharu.

Melangkah ke depabn, laporan utama yang perlu diperhatikan ialah Indeks Pengurus Pembelian (IPP) Pembuatan S&P Global Malaysia, dijangka akan dikeluarkan pada Isnin depan.

IPP Oktober kekal stabil pada 49.5 manakala data November menunjukkan peningkatan selanjutnya, didorong oleh keyakinan dalam kalangan perniagaan domestik seperti yang ditunjukkan oleh Kajian terhadap Situasi Perniagaan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), memberikan sokongan tambahan untuk ekuiti tempatan.

MIER baru-baru ini menyatakan bahawa prospek perniagaan bagi suku keempat 2024 kekal positif dengan Indeks Keyakinan Perniagaan mencecah hampir 105 mata.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI meningkat sebanyak 4.51 mata kepada 1,594.29 daripada 1,589.78 minggu lepas.

Indeks itu gagal mengekalkan paras 1,600 yang dicatatkan pada Selasa dalam persekitaran kebimbangan mengenai pelaksanaan tarif oleh Donald Trump dan prospek kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS.

Di papan indeks Bursa Malaysia, Indeks FBM Emas meningkat 20.14 mata kepada 12,131.13, Indeks FBMT 100 naik 9.36 mata kepada 11,823.79, Indeks FBM 70 susut 74.20 mata kepada 17,859.82, Indeks FBM Emas Shariah turun 90.82 mata kepada 12,034.69 manakala Indeks ACE FBM merosot 31.42 mata kepada 5,131,65.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 152.96 mata kepada 19,190.03, Indeks Penjagaan Kesihatan naik 33.38 mata kepada 2,169.49, Indeks Perladangan merosot 6.70 mata kepada 7,531.82, Indeks Teknologi menguncup 0.68 mata kepada 58.48, Indeks Tenaga jatuh 7.83 mata kepada 812.29 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 2.99 mata kepada 170.29.

Jumlah dagangan melonjak kepada 14.92 bilion unit bernilai RM16.82 bilion berbanding 14.54 bilion unit bernilai RM11.54 bilion pada minggu sebelumnya

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 8.40 bilion saham bernilai RM15.63 bilion berbanding 7.33 bilion saham bernilai RM10.30 bilion minggu lepas. 

Jumlah dagangan waran susut kepada 4.16 bilion unit bernilai RM440.95 juta daripada 4.63 bilion unit bernilai RM566.18 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menambah kepada 2.38 bilion saham bernilai RM746.89 juta daripada 2.57 bilion saham bernilai RM669.94 bilion sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan