PUTRAJAYA, 30 Nov (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan agar nama Universiti Putra Malaysia (UPM) dikekalkan.
Baginda bertitah bahawasanya Lembaga Pentadbir UPM serta baginda selaku Canselor tidak terlebih dahulu dirujuk berkaitan sebarang cadangan pertukaran nama universiti berkenaan.
“Oleh yang demikian, beta tidak berkenan dengan cadangan tersebut,” titah baginda pada Sidang Kedua Sesi Satu, Istiadat Konvokesyen UPM ke-48 di UPM hari ini.
Sultan Sharafuddin dalam titah ucapannya menegaskan nama UPM perlu dikekalkan, kerana baginda telah sebelum ini melancarkan jenama PUTRA yang membawa maksud ‘Pertanian untuk Rakyat’.
Titah baginda, nama UPM juga adalah bersempena nama Perdana Menteri Pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj.
“Oleh itu, di sini Beta ingin mengingatkan kepada mereka yang tidak memahami sejarah agar membaca dan meneliti fakta sejarah sebelum membuat apa-apa kenyataan, terutama melibatkan UPM,” titah baginda.
Khamis lepas, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata cadangan menukar semula nama UPM kepada nama asalnya iaitu Universiti Pertanian Malaysia, akan dikemukakan kepada Kabinet untuk dibincangkan.
Sementara itu, Sultan Sharafuddin dalam titah ucapannya turut mengesyorkan agar UPM menjalin kerjasama dengan pemain industri dalam bidang pertanian lain, bagi mencari jalan mempopularkan semula sektor pertanian di negara ini terutama kepada generasi muda.
Titah baginda, pandangan negatif masyarakat yang melabelkan bidang pertanian sebagai bidang yang tiada masa depan atau bidang kelas rendah perlu diubah, dan masyarakat perlu diyakinkan bahawa bidang pertanian mempunyai potensi dan masa depan yang cerah.
“Usaha ini perlu dilaksanakan kerana pertanian tetap menjadi satu sektor yang perlu dikekalkan dan merupakan sektor yang penting,” titah baginda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial