AM

KDN Janji Selesai Isu 12,000 Pelajar Sekolah Tiada Dokumen Pengenalan Diri

01/12/2024 06:58 PM

SEMPORNA, 1 Dis (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan akan menyelesaikan isu dokumen pengenalan diri membabitkan 12,000 pelajar dalam tempoh antara enam hingga 12 bulan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata KDN yang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) telah membuat profil kira-kira 12,000 pelajar sekolah yang berada dalam sistem pendidikan arus perdana tetapi tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

“Mereka ini ada di sekolah rendah dan sekolah menengah tapi tidak memiliki dokumen pengenalan diri, misalnya perkahwinan ibu bapa yang tidak teratur menyebabkan mereka tidak mendaftar perkahwinan, ini rekod KPM yang dikongsi dengan KDN sekitar 12,000 pelajar.

“Jumlah ini dikenal pasti kerana mereka telah berdaftar dengan Pejabat Pendidikan Daerah, tetapi KDN serta KPM akan mengemas kini data kalau ada yang tercicir dalam kategori sama,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan dokumen pengenalan diri kepada enam penerima pada Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di Sekolah Kebangsaan Pulau Mabul di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata masih ramai yang belum mengetahui dengan tepat bahawa tanggungjawab mendaftar kelahiran mesti dilakukan dalam tempoh 60 hari bagi Semenanjung, manakala 42 hari untuk Sabah dan Sarawak.

“Apabila berlaku keadaan mendaftar lewat, wujud situasi anak ke sekolah tiada pengenalan diri atau kalau tidak ada sijil lahir bila tamat sekolah, susah untuk sambung pelajaran. Kalau sakit, demam pergi ke hospital dikenakan bayaran mahal, jadi hari ini kami mahu segerakan.

“Jadi JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) tampil melalui produk ini iaitu program JPN turun padang ke kawasan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak. Turun mencari masyarakat yang sakit terdampar di rumah, termasuk mencari mereka di rumah jagaan atau rumah orang tua dibantu berkaitan dokumen pengenalan diri,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata Mekar memberi manfaat besar kepada kumpulan sasar di Sabah, dan sehingga kini sebanyak 188 program berkenaan dilaksanakan, sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan menyantuni komuniti pedalaman.

Seorang penerima Ajari Ghadari, 21, berkata memiliki dokumen pengenalan diri adalah penting, terutama memudahkannya untuk mencari pekerjaan.

“Adik-beradik saya yang lain ada dokumen pengenalan diri, hanya saya alami sedikit masalah ketika melakukan permohonan iaitu pada bangsa, saya tunggu kelulusan untuk kad pengenalan diri ini lebih tiga tahun," katanya yang mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin terhadap masalah rakyat.

Abd Lajid Ammin, 47, turut menzahirkan terima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan permohonan kewarganegaraan lima anaknya yang kini berusia antara 19 hingga 23 tahun yang telah diusahakannya sejak lebih lima tahun lepas di Kota Kinabalu dan Semporna.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan