AM

PM Anwar Gesa Sektor Swasta Tingkatkan Usaha Bantu Mangsa Banjir

02/12/2024 10:43 AM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa sektor swasta untuk turut sama menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir, sama ada dari segi sumbangan dana atau menghantar jentera bantuan ke kawasan terjejas.

Beliau berkata syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) di bawah Khazanah Nasional Bhd, Petronas, dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) telah menggerakkan semua syarikat di bawah naungan mereka, dan bank-bank tempatan telah mengambil langkah proaktif dalam menyokong usaha pemulihan.

“Ada baiknya dalam keadaan sekarang bukan saja dana, tetapi juga siap jentera. Biar tiap syarikat-syarikat swasta dari Kuala Lumpur, Ipoh, Pulau Pinang turun juga ke gelanggang,” katanya di majlis perjumpaan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Disember di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar berkata kerajaan telah memastikan seluruh jentera bantuan digerakkan, dengan penglibatan anggota perkhidmatan awam, agensi berkaitan, dan sokongan masyarakat, untuk memastikan bantuan segera sampai kepada mangsa yang terkesan.

Banjir mula melanda negara sejak minggu lepas dengan Kelantan paling teruk dilanda bencana itu yang merekodkan 85,778 mangsa banjir membabitkan 26,781 keluarga ditempatkan di 251 pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini.

Negeri-negeri lain yang dilanda bencana itu ialah Terengganu, Perak, Johor, Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Perlis dan Melaka dan hari ini jumlah mangsa banjir direkodkan di sembilan negeri itu seramai 138,052 orang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan