AM

RM1.66 Bilion Diperuntuk Untuk Labuan Dalam RMK-12 - Dr Zaliha

02/12/2024 05:12 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak 90 program dan projek pembangunan melibatkan peruntukan RM1.66 bilion kepada Wilayah Persekutuan Labuan dalam Rolling Plan Lima Tahun 2025, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata ia melibatkan 22  program dan projek baharu, manakala selebihnya program dan projek sambungan dengan pelaksanaannya bakal melibatkan pelbagai kementerian dan agensi Persekutuan.

“Program dan projek baharu yang telah diluluskan merangkumi pelbagai sektor penting seperti infrastruktur air, perumahan serta kemudahan awam yang melibatkan sektor pendidikan, rekreasi, pengangkutan, dan kesihatan.

“Pelaksanaan projek-projek ini dijangka memberi manfaat yang besar kepada penduduk Labuan secara keseluruhan, selain menyokong pelbagai industri yang terdapat di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Tan Sri Anifah Aman yang meminta Perdana Menteri menyatakan projek-projek pembangunan untuk Wilayah Persekutuan Labuan selain pemasangan 180 buah kamera litar tertutup yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2025.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata peruntukan Belanjawan 2025 kepada Labuan turut melibatkan sejumlah RM7 juta sebagai diskaun tambang feri untuk penumpang feri dan bot serta peningkatan kadar Bantuan Am Wilayah Persekutuan kepada RM150 sebulan, dengan had maksimum RM500 sekeluarga.

Dr Zaliha berkata ketika ini Jabatan Wilayah Persekutuan dan agensi sedang menyediakan perancangan projek pembangunan bagi RMK-13.

“Ia antara lain menumpukan, kepada usaha merancakkan aktiviti pelancongan, menambah baik keterhubungan pengangkutan udara dan laut, menambah jumlah kemudahan penginapan serta, memudah cara urusan transhipment,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Anifah Aman mengenai alasan projek di Labuan tidak dilaksanakan terus oleh Perbadanan Labuan atau Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha berkata ia adalah disebabkan kekangan kapasiti dan sumber.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan