EKONOMI

Northport Umum Perubahan Jawatan, Pelantikan Tiga Pemimpin Kanan

02/12/2024 08:34 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Northport (Malaysia) Bhd (Northport) mengumumkan perubahan jawatan dan pelantikan tiga pemimpin kanannya termasuk Fakhrul Azhar Tajudin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa 1 Dis, 2024.

Northport dalam satu kenyataan hari ini berkata, Fakhrul Azhar menggantikan Datuk Azman Shah Mohd Yusof yang akan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MMC Port Holdings Sdn Bhd yang juga berkuat kuasa pada 1 Dis, 2024.

Fakhrul Azhar yang sebelum ini berkhidmat sebagai Pengurus Besar Bahagian Operasi Terminal Northport mempunyai pengalaman luas selama 25 tahun dalam industri pelabuhan dan logistik.

Dalam pada itu, Northport turut mengumumkan G. Ulaganathan sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO), yang berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

“Dengan kerjaya cemerlang yang mencapai 28 tahun dalam industri pelabuhan dan logistik, Ulaganathan akan menyelia operasi terminal Northport termasuk kontena, kargo konvensional, logistik, perkhidmatan marin dan bahagian komersial.

"Pengalaman meluasnya akan memainkan peranan penting dalam memacu kecemerlangan operasi merentasi bidang yang kritikal," katanya.

Sementara itu, Northport berkata Azman Shah mempunyai lebih daripada 30 tahun pengalaman dengan pelbagai pendedahan termasuk antara lain analisis pelaburan, kewangan korporat, strategi korporat, pembangunan perniagaan dan pencapaian yang ditunjukkan dalam pengurusan pelabuhan.

Beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Northport pada 2016 dan memegang beberapa jawatan pengarah dan pengerusi seperti Pengerusi Port Klang Cruise Terminal Sdn Bhd; Pengarah Klang Port Management Sdn Bhd dan Pengarah Northport Distripark Sdn Bhd.

“Kebolehan kepimpinannya terbukti dan visi strategiknya bersedia untuk memaksimumkan nilai pemegang saham, memastikan pertumbuhan yang mampan dan meletakkan perniagaan pelabuhan kami untuk mencapai tahap baharu selain berjaya memberikan nilai luar biasa kepada pihak berkepentingan,” kata Northport.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan