KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi URBANICE Malaysia menyasar mewujudkan 50 lagi ruang komuniti di Program Perumahan Rakyat (PPR), tahun depan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata setakat ini, 50 ruang komuniti telah disediakan di beberapa PPR di seluruh negara.
"KPKT pada tahun depan akan memperhebat usaha membina ruang komuniti di PPR supaya kalau dulu tempat orang letak motosikal, sampah berterabur, kini kita buat transformasi dan naik taraf jadi ruang komuniti yang selesa, hijau dan boleh dijadikan ruang aktiviti untuk penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pejabat Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) sempena Jelajah Sentuhan Kejayaan KPKT 2024 di sini hari ini.
Nga berkata inisiatif itu merupakan komitmen KPKT dalam memastikan kualiti hidup dan kesejahteraan penduduk bandar lebih sihat, bahagia serta produktif di samping menjadikan PPR lebih berdaya huni.
Dalam pada itu, Nga berkata penyelenggaraan PPR di seluruh negara yang melibatkan peruntukan RM185 juta dijangka selesai dilaksanakan menjelang hujung tahun depan.
Beliau berkata penyelenggaraan itu melibatkan penambahbaikan kemudahan seperti menaik taraf lif, lampu, mengecat semula bangunan serta menukar lantai yang rosak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial