KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Takaful Ikhlas General Bhd (Takaful Ikhlas) anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd (MNRB) dipilih sebagai Pasukan Terbaik Tahun Ini (insurans am dan takaful) pada Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Malaysia 2024.
Takaful Ikhlas dalam kenyataan hari ini menjelaskan pengiktirafan itu menandakan sumbangan luar biasa pihaknya bagi merevolusikan industri takaful menerusi inovasi dan pengalaman lebih baik untuk pelanggan.
Presiden Interim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB Datuk Rudy Rodzila Che Lamin yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas berkata pihaknya gembira menerima pengiktirafan itu, yang membuktikan usaha berterusan pasukan Takaful Ikhlas untuk membentuk semula landskap takaful.
“Pengiktirafan ini mendorong kami untuk terus mempertingkat perkhidmatan dan tawaran bagi memenuhi keperluan mereka yang memberi kepercayaan kepada kami,” katanya.
Menurut Takaful Ikhlas antara inovasi utama adalah mewujudkan cawangan bukan fizikal, “Virtual Ikhlas Points”, yang ditambah daripada lima kepada 10 cawangan maya bagi tahun kewangan 2024.
“Selain itu, ekosistem tuntutan motor digital bagi memudahkan proses tuntutan menerusi e-penyerahan, pemeriksaan melalui video secara langsung, kemas kini masa nyata dan e-pembayaran.
“Takaful Ikhlas turut memperkenalkan proses interaktif secara maya bagi tuntutan berkaitan banjir untuk memastikan penyelesaian penuh dalam tempoh tiga hari.
“Kesemua initiatif ini mengukuhkan kedudukan Takaful Ikhlas sebagai peneraju dalam industri,” tambah syarikat itu.
Syarikat itu turut mengesahkan komitmennya untuk melaksanakan inovasi dengan memperkenalkan “Go by Takaful Ikhlas” pada 2021.
Ekosistem digital telah memberi takrifan semula kepada pengalaman pelanggan, ejen dan rakan kongsi dengan menyepadukan beberapa komponen utama bagi memenuhi pelbagai keperluan pihak berkepentingan, menurut Takaful Ikhlas.
“Ini termasuk ‘GO Direct’, platform dalam talian yang membolehkan pelanggan memilih dan melanggan produk takaful dengan mudah.
“‘GO Serve’ pula sebuah portal pelanggan layan diri yang memudahkan pelanggan menguruskan sijil, mengemukakan tuntutan dan mengakses bantuan pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja,” jelasnya.
Takaful Ikhlas menjelaskan bagi ejen, “GO Partner” berperanan sebagai portal pelbagai sumber untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan.
“‘GO Financial’ pula menyokong rakan kongsi bancatakaful menerusi platform layan diri yang menyelaras proses jualan dan sokongan, serta ‘GO Connect’ iaitu platform antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) bagi memudahkan integrasi rakan kongsi,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial