KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) berharap masyarakat tidak mempolemikkan isu pelaksanaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikut jadual walaupun beberapa negeri sedang berdepan banjir.
Setiausaha Agung NUTP Fauzi Singon berkata pihaknya menyokong keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) untuk meneruskan peperiksaan itu berpandukan prosedur operasi standard (SOP) Op Payung dan perancangan rapi yang telah dibuat.
Selain itu, persediaan yang bermula daripada membina soalan, mencetak kertas peperiksaan, agihan, pelaksanaan peperiksaan, penandaan kertas peperiksaan hingga penandaan kertas peperiksaan dan tarikh mengumumkan keputusan juga telah diambil kira dengan berhati-hati.
"Tarikh peperiksaan juga telah diselaraskan dengan pihak pengajian lanjutan selepas peperiksaan SPM. Jumlah kertas peperiksaan yang terlalu banyak juga perlu diambil kira. Jika isu banjir, peperiksaan SPM perlu ditunda, maka perlu dilihat juga tempoh berapa lama perlu diambil untuk penjadualan semula.
"Justeru, tidak boleh sesuka hati membuat sebarang pindaan atau perubahan, tambahan pula pelbagai pihak terlibat dalam menyusun dan mengatur peperiksaan SPM," katanya dalam kenyataan hari ini.
Fauzi berkata KPM juga sentiasa siap siaga selain turut mengambil langkah sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi keselamatan lain untuk memastikan keselamatan calon dan petugas serta peperiksaan berjalan lancar.
Sebanyak 402,956 calon berdaftar bagi menduduki peperiksaan SPM tahun ini.
Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata peperiksaan SPM yang bermula semalam dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu berjalan lancar di seluruh negara dan tiada calon tercicir, walaupun di negeri terkesan banjir.
Melalui Op Payung, calon yang terjejas ditempatkan di asrama terpilih manakala calon yang tidak boleh pulang ke negeri asal boleh menduduki peperiksaan di pusat peperiksaan ditetapkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial