DUNIA

Trump Cadang Kanada Jadi Negeri Ke-51 AS Di Bawah Pentabiran Trudeau - Laporan

03/12/2024 06:51 PM

MOSCOW, 3 Dis (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Presiden terpilih Donald Trump secara berseloroh mencadangkan bahawa Kanada akan lebih baik menjadi negeri ke-51 Amerika Syarikat (AS) sekiranya ekonominya tidak dapat bertahan dengan potensi tarif AS ke atas barangan Kanada, lapor Sputnik.

Pada lewat November, Trump berkata beliau akan mengenakan tarif 25 peratus ke atas semua barangan dari Mexico dan Kanada selepas beliau memegang jawatan, dengan alasan masalah pendatang tanpa izin yang belum diselesaikan dan penyeludupan dadah ke Amerika Syarikat.

Dalam satu mesyuarat dengan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, minggu lepas, Trump menyatakan bahawa Kanada telah mengecewakan AS dengan membenarkan sejumlah besar dadah dan pendatang tanpa izin menyeberangi sempadan serta membiarkan defisit perdagangan antara kedua-dua negara mencecah lebih US$100 bilion, lapor Fox News.

Trudeau berkata tarif sedemikian akan merosakkan ekonomi Kanada, kata sumber sambil menambah bahawa Trump kemudian mencadangkan jika Kanada tidak dapat menangani masalah ekonominya, negara itu harus menjadi negeri ke-51 Amerika Syarikat dengan Trudeau sebagai gabenornya. Tindak balas itu dilaporkan mencetuskan "ketawa dalam cemas'’ daripada pihak Kanada.

Media AS dan Kanada melaporkan bahawa Trudeau tiba di Florida pada Jumaat lepas dalam satu lawatan yang tidak diumumkan untuk bertemu dengan Trump di kediamannya di Mar-a-Lago.

Perdana Menteri Kanada dilaporkan merancang untuk membincangkan dengan Trump kemungkinan pengenalan tarif ke atas barangan dari Kanada oleh pentadbiran AS yang akan datang, serta isu-isu migrasi. 

Trump berkata mesyuarat tiga jam beliau dengan Trudeau adalah "sangat produktif." CBC News melaporkan bahawa Trudeau berjanji semasa mesyuarat itu bahawa Ottawa akan memperketatkan keselamatan di sepanjang sempadan kedua-dua negara.

-- BERNAMA-SPUTNIK


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan