EKONOMI

Pemeteraian Perjanjian JS-SEZ Bersama Kerajaan Singapura Tangguh Kepada Januari Depan - PM Anwar

04/12/2024 01:31 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan perjanjian yang akan dimeterai bersama kerajaan Singapura mengenai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pada 9 Disember ini ditangguhkan kepada Januari 2025.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata penangguhan itu berikutan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong telah dijangkiti COVID-19.

“Malam tadi, Perdana Menteri Singapura maklum pada saya beliau dijangkiti COVID-19. Oleh itu, mungkin tandatangan (pemeteraian JS-SEZ) ini harus ditangguhkan kepada Januari,” kata beliau di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membentang Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara.

Anwar berkata perjanjian itu menjadi langkah yang sangat bermakna dalam konteks ASEAN dan hubungan baik Malaysia dengan Singapura.

“Ia akan mengeratkan kerjasama perdagangan (dan) pelaburan yang kita yakin akan merancakkan ekonomi dan pembangunan bagi negeri Johor,” kata beliau. 

Pada 28 November lepas, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menjelaskan semakan draf perjanjian bersama JS-SEZ antara kerajaan Malaysia dan Singapura itu berada di peringkat akhir dan dijangka dapat dimuktamadkan pada Disember ini.

Beliau berkata sehubungan itu, kertas Jemaah Menteri berkaitan akan dibentangkan dalam tempoh seminggu dua sebelum dapat dimuktamadkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan