SUKAN

Sukan Perlis Akan Diberikan Penjenamaan Baharu, Sukan Cara Orang Perlis

04/12/2024 01:55 PM

KANGAR, 4 Dis (Bernama) -- Sukan Perlis akan diberikan penjenamaan baharu beridentiti tersendiri dengan falsafah pembudayaan sukan cara orang Perlis, dalam usaha memastikan setiap penyertaan dalam semua sukan disertai anak jati negeri itu. 

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Sains, Teknologi dan Inovasi Perlis Mohd Ridzuan Hashim berkata beliau bersama Majlis Sukan Negeri Perlis (MSNPs) dan Persatuan Sukan Negeri akan mengerakkan gerak kerja secara serius untuk memastikan kejayaan dapat dikecapi bersama.    

"Di samping kejayaan pungutan pingat dalam temasya, kita juga berharap pengurusan Persatuan Sukan Negeri akan bertambah baik. Seperti yang kita fahami, persatuan adalah sebuah organisasi yang ditubuhkan bertujuan untuk menghimpun dan menyatukan individu untuk menyemarakkan dan membangunkan sukan di negeri ini. 

"Maka saya berharap para pentadbir persatuan akan berusaha memastikan persatuan mereka bergerak seiring dengan kerajaan negeri dalam pengurusan sukan di negeri Perlis ini," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan insentif kemenangan Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2024 di Sarawak dan Sukan Paralimpik Paris 2024 di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Mohd Ridzuan berkata pihaknya berusaha memastikan semua sukan disertai anak jati Perlis kerana mahu peruntukan disediakan kerajaan negeri dinikmati sepenuhnya oleh rakyat negeri itu.

Sehubungan itu, beliau berkata pelan untuk penjenamaan baharu tersebut akan bercirikan empat teras utama iaitu pembudayaan sukan dalam kalangan rakyat Perlis; memantapkan pembangunan sukan secara berfokus dan memperkasakan aplikasi Sains Sukan; penekanan kepada pendidikan dan kebajikan atlet serta pengukuhan kerjasama antara pemegang taruh dan pemasaran.

"Tumpuan khusus diberikan kepada tahap kepakaran kejurulatihan; kebajikan atlet; keselesaan pusat latihan dan penganjuran kejohanan. Semua ini diberi keutamaan kepada rakyat negeri Perlis untuk mengambil bahagian sebagai pemain utama bagi memastikan pelan ini dilaksanakan dengan jayanya," katanya.

Sementara itu, pada sidang media selepas majlis, beliau berkata Perlis menyasarkan 20 pingat emas pada SUKMA 2026 dengan tumpuan kepada lapan sukan teras utama.

“Kita akan teruskan usaha yang telah dimulakan tahun ini dengan semangat baharu. Dalam tempoh dua tahun ini, kita akan memperhebat latihan atlet termasuk menerusi temasya sukan peringkat negeri,” katanya.

Dalam pada itu, menurut kenyataan MSNPs, kerajaan Perlis telah menyampaikan insentif kemenangan berjumlah RM497,300 kepada atlet negeri ini yang mempamerkan aksi cemerlang dalam ketiga-tiga temasya berkenaan. 

Untuk rekod, pada SUKMA 2024, Perlis berjaya memperoleh 12 pingat emas manakala Para SUKMA menyumbang enam pingat emas.

Datuk Abdul Latif Romly pula membawa pulang pingat perak menerusi acara Lompat Jauh Lelaki (T20) di Paralimpik Paris 2024 dan beliau menerima insentif bernilai RM80,000 kerana mengharumkan nama Perlis di peringkat dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan