AM

Status Kemajuan LCS Kini 70 Peratus

04/12/2024 02:54 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Status kemajuan semasa bagi perolehan kapal tempur pesisir (LCS) pertama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berakhir pada 25 Okt lepas adalah sebanyak 70.10 peratus, berbanding jadual perancangan iaitu 70.69 peratus.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata pengukuran tahap kemajuan itu merangkumi elemen reka bentuk, proses pembinaan, peralatan dan ujian.

“Berdasarkan perancangan perbatuan yang terkandung dalam kontrak yang ditandatangani, fasa akhir pembinaan kapal LCS pertama akan dapat disiapkan pada hujung tahun ini sebelum ia menjalani ujian seperti Harbour Acceptance Test (HAT) dan Sea Acceptance Trial (SAT) oleh TLDM untuk tempoh dua tahun.

“Bagi kapal LCS kedua, ia akan turun ke permukaan air pada 2025 sebelum menjalani ujian HAT dan SAT,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang ingin tahu jangkaan garis waktu kapal LCS pertama akan mula menjalani ujian pengoperasian dan jangkaan kapal kedua akan turun ke permukaan air.

Selain itu, Adly berkata Kementerian Pertahanan sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dan memantau secara teliti pelaksanaan projek LCS dengan pasukan projek yang terlibat di limbungan sentiasa memantau tapak dan mengadakan mesyuarat secara mingguan atau bulanan dengan pihak Lumut Naval Shipyard (LUNAS). 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan