ALOR SETAR, 4 Dis (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menggerakkan sukarelawan dalam misi bantuan pascabanjir bagi membantu kerja-kerja pembaikan serta pemulihan infrastruktur di institusi yang terjejas akibat bencana itu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata KDN mempunyai kelebihan dari segi aset yang akan mempermudah operasi pembersihan seperti pam air berkuasa tinggi dan meriam air (water cannon).
"Sukarelawan KDN melalui inisiatif Insan MADANI akan membantu memulihkan institusi seperti masjid, rumah ibadat, dewan dan sekolah.
"Kami juga akan memberi tumpuan kepada pembersihan kawasan, termasuk sampah pukal seperti almari dan perabot rosak yang perlu diuruskan dengan cekap," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi dekat sini, hari ini.
Menurut Saifuddin Nasution, beliau juga telah mengadakan mesyuarat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bagi menyusun perancangan misi pascabanjir di negeri tersebut.
Sementara itu, beliau berkata Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga telah diarahkan untuk menggerakkan program 'Menyemai Kasih Rakyat' bagi menggantikan dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan dan sijil kelahiran yang hilang akibat banjir, secara percuma.
"Kenderaan bergerak seperti bas dan van akan ditempatkan di lokasi strategik bagi memudahkan mangsa banjir. Ketua Pengarah Imigresen turut bersetuju untuk melaksanakan inisiatif yang sama bagi dokumen seperti pasport," katanya.
Beliau berkata setakat malam tadi, Ketua Polis Negara memaklumkan bahawa terdapat trend penurunan dari segi jumlah keluarga dan mangsa banjir yang dipindahkan.
"Penurunan ini boleh dilihat selari dengan keadaan cuaca yang bertambah baik sejak dua hingga tiga hari kebelakangan ini, berbanding keadaan pada hari Jumaat dan Sabtu yang lebih kritikal.
"Saya meminta untuk meninjau sendiri keadaan di PPS. Fokus utama kita pada masa ini adalah keadaan kesihatan, penyediaan makan dan minum serta penyelarasan agensi dan sukarelawan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga ingin menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang memastikan mangsa banjir selamat dipindahkan dan mendapat keperluan asas di PPS, termasuk makanan dan rawatan kesihatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial