AM

Malaysia Komited Jadikan Komuniti ASEAN Platform Berkesan - Mohamad

04/12/2024 06:29 PM

PUTRAJAYA, 4 Dis (Bernama) -- Malaysia komited untuk menjadikan Komuniti ASEAN sebagai platform yang lebih berkesan bagi rantau Asia Tenggara, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata perbincangan untuk memperkukuhkan Komuniti ASEAN adalah antara agenda utama dibincangkan semasa lawatan kerja tiga hari Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn ke Malaysia, yang bermula Isnin.

“Perbincangan banyak berkisar kepada persiapan kita untuk menjadi pengerusi ASEAN, bagaimana Sekretariat ASEAN di Jakarta dapat membantu dan juga memberikan segala input bagi mempermudahkan Malaysia untuk mempengerusikan ASEAN tahun depan.

“Kita juga berbincang beberapa perkara mengenai kepentingan ASEAN semasa, baik di peringkat rantau ASEAN dan juga di peringkat serantau yang lain,” katanya kepada media selepas menghadiri pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kao di sini hari ini.

Mohamad berkata dalam pertemuan kira-kira 45 minit itu, Anwar dan Kao turut berbincang berkenaan dengan Malaysia yang sekali lagi akan diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah dalam memperkenalkan konsep Komuniti ASEAN 2025-2045.

Dilaporkan pada November lepas, ASEAN akan memperkenalkan pelan hala tuju jangka panjang selama 20 tahun, Visi Komuniti ASEAN 2045 semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Malaysia tahun depan.

Perkara ini diumumkan oleh Ketua Pengarah Jabatan ASEAN di Kementerian Luar Laos Chatoulong Bouasisavath dalam sesi Perbincangan dengan Pengerusi ASEAN di Forum Media ASEAN Kelapan (AMF) di Vientiane.

Sementara itu, Mohamad berkata Kao turut memuji kesiapsiagaan Malaysia untuk mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN tahun depan.

“Ini bukan kali pertama Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, tetapi ini merupakan kali kelima (termasuk tahun depan).

“Walaupun kita dah lima kali tapi ada juga perkara-perkara terutamanya dari segi logistik yang perlu kita perkemaskan agar kedatangan tetamu kita daripada negara ASEAN, negara GCC dan juga negara-negara rakan dialog ASEAN nanti, mereka berasa selesa dan substantifnya memang akan kita buat,” katanya.

Mohamad berkata Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Langkawi pada 18 dan 19 Januari tahun depan, yang bakal merumuskan agenda utama menjelang Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Negara ASEAN pada Mei dan Oktober 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan