IPOH, 4 Dis (Bernama) -- Sebanyak 8,977 ketua isi rumah (KIR) di Perak berjaya dikeluarkan daripada kepompong kemiskinan tegar setakat 2 Dis lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Salbiah Mohamed.
Beliau berkata usaha kerajaan negeri menoktahkan kemiskinan tegar menunjukkan trend positif menerusi kerjasama sinergi yang digerakkan melalui Task Force Gerak Kerja Pembasmian Kemiskinan Tegar Negeri Perak.
Salbiah berkata pasukan perugas itu dibentuk melibatkan semua agensi pemberi bantuan bersama pentadbiran daerah di seluruh negeri serta pelaksanaan Inisiatif Pusat Setempat (OSC) Sejahtera Sosial yang menghimpunkan semua agensi berkaitan pembasmian kemiskinan.
Beliau berkata hingga 1 Dis lepas, sebanyak sembilan daerah telah selesai pelaksanaan program OSC Sejahtera Sosial, dan inisiatif itu dijangka dilaksanakan di Kampar dan Batang Padang pada pertengahan bulan ini.
"Saya juga ingin tegaskan di Dewan yang mulia ini bahawa inisiatif ini digerakkan bagi menyantuni rakyat miskin tegar tanpa mengira kaum, agama dan pandangan politik,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tahun 2025 dan Usul Wang Pembangunan 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Salbiah berkata setakat 2 Dis, terdapat 53 KIR berstatus miskin tegar di Perak yang perlu dikeluarkan daripada kelompok itu.
Beliau berkata kerajaan negeri ketika ini memberi tumpuan kepada agenda menoktahkan kemiskinan terutamanya kemiskinan tegar dan usaha itu akan diteruskan pada 2025 melalui inisiatif OSC Sejahtera Sosial yang diperuntukkan sejumlah RM600,000.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial