AM

Banjir Di Tujuh Negeri Beransur Pulih

06/12/2024 08:18 PM

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Situasi banjir di Terengganu, Perak, Kelantan, Kedah, Melaka, Johor dan Pahang semakin beransur pulih. 

Di TERENGGANU hanya lima orang daripada satu keluarga masih berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Rhu Sepuluh, Setiu, berbanding 1,052 orang yang direkodkan pagi tadi. 

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan 976 mangsa daripada 247 keluarga yang direkodkan di daerah Kuala Nerus pagi tadi telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah kesemua lapan PPS di daerah itu ditutup tengah hari tadi.

Di PERAK, masing-masing satu PPS di daerah Kinta dan Perak Tengah ditutup hari ini menjadikan hanya tiga PPS masih dibuka di negeri itu setakat 4 petang tadi. 

PPS yang ditutup pada 12 tengah hari tadi ialah PPS Dewan Bandaran Kinta (Kinta) dan PPS Dewan Millenium Pejabat Daerah dan Tanah Kampung Gajah (Perak Tengah), menjadikan jumlah mangsa banjir berkurang kepada 129 orang daripada 43 keluarga berbanding 149 orang daripada 51 keluarga, pagi tadi. 

 Mangsa banjir di MELAKA sedikit menurun iaitu 134 mangsa daripada 34 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 148 mangsa keluarga daripada 37 keluarga pada 8 pagi tadi.

 Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua mangsa melibatkan penduduk di daerah Jasin itu ditempatkan di dua PPS iaitu 103 orang daripada 25 keluarga di PPS SK Parit Penghulu manakala 31 orang daripada sembilan keluarga ditempatkan di PPS SK Seri Mendapat. 

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir terus berkurang kepada 2,861 orang daripada 850 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 3,676 orang daripada 1,088 keluarga, pagi tadi. 

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa dari dua daerah itu masih ditempatkan di 17 PPS.

“Kota Setar masih mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 2,479 orang daripada 740 keluarga yang ditempatkan di 14 PPS manakala di Kubang Pasu sebanyak 382 orang daripada 110 keluarga di tiga PPS. Tiga PPS yang dibuka di Pokok Sena pada 28 Nov lepas telah ditutup sepenuhnya semalam dan hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir juga mencatatkan penurunan kepada 12,736 orang daripada 3,963 keluarga setakat empat petang ini berbanding 23,366 orang pagi tadi.

Menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mangsa tertinggi adalah di Tumpat iaitu 8,514 orang melibatkan 2,608 keluarga, diikuti Pasir Mas sebanyak 4,200 orang daripada 1,348 keluarga manakala Jeli kekal 19 orang daripada empat keluarga. 

Selain itu, jumlah mangsa di JOHOR mencatatkan penurunan kepada 811 orang setakat 4 petang ini, berbanding 975 orang pagi tadi meskipun daerah Batu Pahat mula dilanda banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan sebuah PPS dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan Seri Comel di Batu Pahat, pada 11 pagi tadi melibatkan 30 mangsa. 

Beliau memaklumkan kesemua mangsa daripada 232 keluarga di tiga daerah terjejas ditempatkan di 17 PPS merangkumi  605 orang daripada 174 keluarga di 14 PPS di Segamat manakala 176 orang daripada 48 keluarga berlindung di dua PPS di Tangkak. 

Sementara itu, di PAHANG, jumlah mangsa banjir kekal 15 orang daripada lima keluarga yang berada di satu PPS di Maran petang ini.

Semakan di publicinfobanjir.water.gov.my mendapati hanya Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran melepasi paras amaran 18.37 meter. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan