KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) akan menyalurkan 10,000 kotak makanan kepada lebih 50,000 mangsa terjejas banjir di seluruh negara dalam masa terdekat.
TH dalam kenyataan memberitahu sumbangan dengan nilai keseluruhan RM500,000 itu akan diserahkan kepada YFBM bagi menyediakan kotak berisi makanan sedia dimakan untuk diagihkan kepada mangsa di pusat pemindahan sementara dan petugas barisan hadapan secara berperingkat di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman dalam kenyataan sama berkata program tahunan tanggungjawab sosial korporat TH itu bertujuan membantu mangsa bencana alam di seluruh negara termasuk banjir.
"TH amat prihatin dan terkesan dengan musibah banjir yang melanda beberapa negeri terutama di Pantai Timur, yang turut mengakibatkan beberapa pejabat cawangan TH di negeri-negeri terlibat ditangguhkan sementara operasi.
"Lantaran itu TH bersolidariti bersama komuniti yang terkesan dan hadir menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban mereka," katanya.
Beliau berkata setiap kotak makanan mengandungi nasi dan lauk segera, makanan kering dan air mineral, yang dijangka dapat memenuhi keperluan makanan bernutrisi dan berkhasiat untuk sebuah keluarga kecil ataupun lima orang selama seminggu.
Syed Hamadah berkata pihaknya juga telah mengenal pasti beberapa anggota TH yang terkesan bagi menyalurkan bantuan meringankan tekanan dan memulihkan harapan serta semangat mereka untuk bangkit menghadapi ujian.
Sebagai tanda solidariti, beliau berkata usaha ini turut disahut syarikat Kumpulan TH antaranya Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang menganjurkan Program Prihatin Banjir dengan menawarkan penangguhan ansuran pembiayaan rumah, pinjaman peribadi dan kenderaan selama enam bulan.
Beliau berkata BIMB juga menawarkan Kemudahan Bantuan Bencana khusus buat perniagaan mikro, kecil dan sederhana melalui pembiayaan modal kerja serta membaik pulih atau menggantikan aset perniagaan, selain memperuntukkan bantuan sokongan kewangan berjumlah RM250,000 dan melancarkan Tabung Bantuan Banjir bagi membantu kakitangan yang terkesan.
Syarikat Takaful Malaysia Berhad turut memberikan sumbangan kewangan serta bantuan proses tuntutan insurans segera untuk kenderaan mahupun kesihatan, manakala TH Properties Sdn Bhd menyumbang bantuan bekalan asas harian dengan nilai keseluruhan berjumlah RM10,000.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial