EKONOMI

MALAYSIA REKOD PELABURAN RM254.7 BILION DALAM TEMPOH SEMBILAN BULAN PERTAMA TAHUN INI - PM ANWAR

11/12/2024 10:47 AM
Daripada Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Malaysia berjaya merekodkan jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi bernilai RM254.7 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini merupakan peningkatan sebanyak 10.7 peratus berbanding RM230.2 bilion bagi tempoh yang sama pada 2023.

Beliau berkata nilai ini melibatkan 4,753 projek yang dijangka menjana sejumlah 159,347 peluang pekerjaan baharu.

"Perkara itu dimaklumkan sewaktu saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 8 Tahun 2024 terkait soal prestasi pelaburan," kata beliau menerusi hantaran di laman X hari ini.

Perdana Menteri berkata MPN juga bersetuju dan mengesahkan Garis Panduan bagi Pembangunan Pusat Data Mampan yang mengandungi metrik kecekapan Keberkesanan Penggunaan Tenaga (PUE) dan Keberkesanan Penggunaan Air (WUE). 

Menurut beliau, garis panduan ini akan diguna pakai sebagai syarat kelayakan insentif cukai di bawah Skim Pecutan Ekosistem Digital (DESAC) yang merupakan inisiatif penambahbaikan polisi terkait usaha memacu pelaburan pusat data. 

"Kerajaan MADANI berterusan menambah baik dasar sedia ada dan mewujudkan dasar baharu sebagai langkah meningkatkan daya saing negara," kata Anwar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan