AM

SKUAD IHSAN MADANI KKDW BANTU BERSIH RUMAH, PREMIS DI TUMPAT

11/12/2024 04:45 PM

 

TUMPAT, 11 Dis (Bernama) -- Skuad Ihsan Madani Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) hari ini meneruskan misi bantuan banjir dengan membersihkan kediaman di tiga buah kampung dekat sini yang terjejas semasa gelombang pertama banjir yang melanda Kelantan pada penghujung November lepas.

Pengarah Pejabat KKDW Kelantan Nazrul Haqiim Mohamad Nasir berkata aktiviti yang membabitkan 180 kakitangan daripada pelbagai agensi di bawah kementerian itu turut melakukan kerja pembersihan di sembilan premis perniagaan, masjid dan tabika Jabatan Kebajikan Masyarakat (KEMAS).

"Skop kita hari ini adalah bagi memastikan setiap rumah atau bangunan yang kita bersihkan dapat digunakan atau beroperasi seperti biasa.

"Kerja amal ini telah kita mulakan selepas banjir mula reda di Kelantan mengikut keperluan dan akan kita teruskan sehingga Monsun Timur Laut ini berakhir," katanya kepada pemberita di Majlis Pelancaran Skuad Ihsan Madani KKDW di Sekolah Kebangsaan Teluk Jering di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nazrul Haqiim berkata Tumpat merupakan antara jajahan yang paling teruk terjejas dan mangsa banjir yang baru pulang ke rumah sedang bergelut dengan masalah pasca banjir termasuk kerosakan rumah dan harta benda.

KKDW sebagai bapa angkat kepada negeri Kelantan diberi mandat untuk membantu meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir, sekali gus memberi ruang kepada mereka untuk membuat persiapan menghadapi gelombang banjir seterusnya, tambah beliau.

Dalam perkembangan lain, Nazrul Haqiim berkata seramai 946 kakitangan di bawah KKDW di Kelantan turut menjadi mangsa dalam gelombang banjir pertama dengan sebahagiannya terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara.

Beliau berkata daripada jumlah itu, ia melibatkan kakitangan FELCRA seramai 44 orang, Jabatan Kemajuan Orang Asli (27 orang), KEMAS (414 orang), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (64 orang), Majlis Amanah Rakyat (315 orang), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (53 orang) dan selebihnya membabitkan pusat komuniti desa.

"Ada juga kakitangan yang terperangkap kerana laluan ke rumah masing-masing ditenggelami air. Kita telah menggunakan sumber dalaman bagi menghulurkan bantuan kepada semua kakitangan yang terlibat, terutama dari segi pengagihan makanan dan keperluan asas lain," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan