AM

RCI BATU PUTEH : ANWAR SERAH KEPADA AHLI PARLIMEN UNTUK BINCANG

12/12/2024 02:01 PM
Daripada Siti Baaqiah Mamat

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada Ahli Parlimen untuk membincangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Parlimen hari ini.

“Saya rasa mereka (Ahli Parlimen) sedang berbincang mengenainya… mereka membahaskannya hari ini. Serahkan kepada mereka untuk bincang,” katanya kepada media selepas melancarkan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan RCI yang antara lain mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama dan juga di bawah Seksyen 418 kanun sama.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, laporan itu dijadual dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini. 

Sebelum ini Anwar berkata laporan RCI itu mendedahkan kelemahan pengendalian isu berkenaan selain wujud unsur pengkhianatan.

Beliau berkata kelemahan pengendalian berkaitan isu Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan itu tidak sepatutnya berlaku kerana negara perlu perjuangkan setiap inci tanah di dalam negara ini secara sehabis-habisan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan