KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Sebanyak 2,634 tapak lokasi pembuangan sampah haram berjaya ditutup melibatkan anggaransisa 1,500 tan dengan kos pembersihan RM412,000 sepanjang tahun ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata 28 kes pendakwaan mahkamah telah disabitkan kesalahan, dengan jumlah denda RM490,000 berhubung isu pembuangan sampah haram.
Beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dipertanggungjawabkan membasmi lokasi dan aktiviti pembuangan sampah secara haram di tujuh negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Ia melibatkan Perlis, Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya).
"Sebanyak 4,134 intipan dilaksanakan penguat kuasa SWCorp sepanjang 2024,” katanya menjawab soalan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) yang ingin mengetahui laporan penutupan hotspot sampah haram bagi 2024 melalui kerjasama bersama SWCorp, di Dewan Rakyat hari ini.
Aiman Athirah berkata, KPKT melalui SWCorp akan terus mempergiatkan usaha membasmi lokasi tapak sampah haram dengan melakukan cerapan lokasi, pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV), serta operasi serbuan dan intipan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial