AM

KERJA PENGERUKAN DI TERMINAL FERI KUALA PERLIS SIAP MEI 2025

12/12/2024 10:16 PM

KANGAR, 12 Dis (Bernama) -- Kerja-kerja pengerukan alur pelayaran dan lembangan Kuala Perlis sebagai langkah berkala mengatasi isu air laut cetek yang menjejaskan perkhidmatan feri di Terminal Feri Kuala Perlis dijangka siap sepenuhnya penghujung Mei 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Hubungan Sempadan Perlis Izizam Ibrahim berkata kerja-kerja itu telah bermula 1 Ogos tahun lepas yang dilaksanakan oleh sebuah syarikat.

Beliau berkata melihat kepada isu berkenaan, kerajaan Persekutuan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) turut melaksanakan Kajian Kebolehlaksanaan Pembangunan Kompleks Terminal Jeti Kuala Perlis.

“Terkini, NCIA telah memohon untuk melaksanakan kerja-kerja awalan di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Perlis 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Izizam berkata kajian penyelesaian lebih mampan untuk menangani masalah mendapan yang mengganggu alur pelayaran dan basin Kuala Perlis turut dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang disiapkan pada Feb 2022.

Sementara itu, beliau berkata perkhidmatan feri ketika ini hanya dapat beroperasi sewaktu air pasang disebabkan mendapan selut yang membuatkan air laut menjadi cetek, dan Jabatan Laut Malaysia tidak menghalang operator feri menambah bilangan trip dengan syarat memaklumkan lebih awal kepada jabatan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan