AM

MCMC PERUNTUK RM13.7 JUTA BAGI PEROLEHAN TITIK AKSES WIFI DI UM, USIM DAN UNIMAP - FAHMI

13/12/2024 05:47 PM

PUTRAJAYA, 13 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan memperuntukkan RM13.7 juta bagi perolehan lebih 2,000 titik akses rangkaian WiFi di tiga institusi pengajian tinggi (IPT) iaitu Universiti Malaya, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Malaysia Perlis.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, berkata titik akses WiFi itu akan dipasang di ketiga-tiga IPT bermula Januari depan.

"Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri tentang usaha pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi melengkapkan semua universiti awam dengan perkhidmatan Internet. 

"Bagi MCMC, perbincangan dengan semua universiti ini telah bermula pada 5 Dis lepas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dengan Naib Canselor," katanya pada sidang media mingguan Menteri Komunikasi di sini hari ini.

Pada 25 Sept lepas, beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan MCMC dan KPT agar segera menyelesaikan isu capaian Internet di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kerana kebanyakan kampus akan menerima kemasukan pelajar dalam tempoh terdekat.

Susulan arahan itu, pada 6 Okt lepas, Zambry berkata KPT sedang berusaha memastikan capaian Internet di semua IPTA berada pada tahap tertinggi dan memaklumkan menjalinkan kerjasama dengan pihak berkaitan seperti arahan Perdana Menteri yang mahu isu kelemahan capaian Internet di IPTA diselesaikan segera.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan