AM

KABINET CADANG PEGUAM NEGARA NYAHKLASIFIKASI LAPORAN AKHIR PASUKAN PETUGAS KHAS BATU PUTEH

13/12/2024 08:30 PM
Daripada Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

PUTRAJAYA, 13 Dis (Bernama) -- Jemaah Menteri hari ini mencadangkan kepada Peguam Negara supaya mempertimbangkan langkah untuk nyahklasifikasi laporan akhir Pasukan Petugas Khas Batu Puteh, kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil. 

Dalam sidang media di sini hari ini, Menteri Komunikasi itu berkata langkah nyahklasifikasi laporan akhir Pasukan Petugas Khas berkenaan akan bersifat penuh, kecuali perkara berkaitan diplomasi, keselamatan dan pertahanan negara. 

Fahmi berkata laporan yang dicadang untuk dinyahklasifikasi itu berbeza dengan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini.

"Ini adalah dua dokumen yang berbeza. Yang telah dibentangkan dalam Parlimen adalah laporan RCI Batu Puteh dan dalam laporan RCI itu ada juga merujuk kepada satu laporan Pasukan Petugas Khas Batu Putih.

"Laporan tersebut berkisar hasil siasatan pasukan pasukan petugas khas yang telah ditubuh pada 29 Oktober 2021 dan laporan akhir telah dibentang kepada Jemaah Menteri pada 7 Oktober 2022," katanya.

Beliau berkata laporan Pasukan Petugas Khas Batu Puteh telah dimulakan sewaktu pentadbiran Perdana Menteri Kesembilan iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut) dan Datuk Dr Radzi Jidin (Putrajaya) menganggotai Jemaah Menteri ketika itu. 

Fahmi berkata mesyuarat Jemaah Menteri hari ini turut dimaklumkan bahawa hasil laporan bagi Pasukan Petugas Khas berkenaan adalah sama dengan syor yang dikemukakan dalam RCI sekali gus bermaksud kedua-dua mendapati perkara sama. 

“Laporan Pasukan Petugas Khas telah syorkan agar ada pendakwaan berdasarkan ‘misfeasance’ ataupun pengabaian tugas oleh seorang pegawai awam dan inilah juga apa yang telah disyorkan oleh laporan RCI.

“Jadi untuk Yang Berhormat Kota Bharu, Larut dan Putrajaya bertindak seolah-olah apa yang disyor oleh RCI jauh berbeza daripada laporan yang mereka sendiri telah baca sewaktu mereka berada dalam Jemaah Menteri, ia adalah satu perkara yang cukup mengganjilkan,” katanya.

Sementara itu Fahmi berkata semangat untuk membentangkan RCI serta dibahaskan oleh Ahli Parlimen itu sama seperti Laporan Ketua Audit Negara serta laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM)

Beliau turut menafikan wujud unsur dendam dalam RCI berkenaan kerana ia dilaksana bagi memastikan tiada kesilapan berulang dilakukan oleh mana-mana pihak.

“Kita nak elak daripada kesilapan ataupun cara sesuatu perkara itu dikendalikan dulu tidak berulang. Itulah niat kita bukan bersifat dendam ataupun untuk mewarnakan seseorang itu sedemikian rupa.

“Apatah lagi bila kedua-dua laporan ini mengesyorkan perkara yang sama. Misfeasance. Kedua-dua laporan menyebut perkara yang sama. Jadi bagi saya, ini bukan isu ultranasionalis ataupun isu dendam, tetapi ia adalah melibatkan pengabaian tugas seorang yang sepatutnya bertanggungjawab,” katanya.

Pada 29 Oktober 2021, Kabinet bersetuju membentuk Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang dipengerusikan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Media sebelum ini melaporkan RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan